Oleh Rashid Ating
10 Oktober 2023, 16:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – KopiLab mengundang penggemar kopi untuk menikmati kopi tempatan keluaran Sarawak di samping membuka peluang untuk masyarakat membuat kajian tentangnya.

KopiLab menawarkan pengalaman meminum kopi secara eksklusif dengan memberikan penekanan terhadap keunikan kopi Sarawak yang kaya dan unik. Di samping itu, KopiLab juga menggabungkan nilai tradisional dengan gaya hidup kontemporari yang bermatlamat memberikan pengalaman melangkaui secawan kopi biasa.

KopiLab membawakan inspirasi termasuklah berhasrat untuk menjadi tempat yang berkongsi ilmu tentang kopi; sebagai platform untuk mempromosikan Kopi Sarawak kepada dunia; menjadi hab untuk semua penggemar kopi berkumpul; dan satu cara untuk memperkasakan komuniti setempat yang seterusnya memberikan manfaat kepada komuniti tempatan.

Dalam satu acara tertutup di Gala City, majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara Pengarah KopiLab yang diwakili oleh Encik Stulos Wong Siew Sze dengan Pengarah Lighthouse Coffee yang diwakili oleh Encik Victor Leong. Majlis ini disaksikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Primer Negeri Sarawak, Datu Hii Chang Kee, dan Profesor Sebrina Wang Mei Jung dari Jabatan Bahasa Inggeris Gunaan, Hospitaliti dan Pelancongan, Universiti Kebangsaan Kaohsiung, Taiwan.

Majlis seterusnya diteruskan dengan penandatanganan surat perjanjian antara Centre for Responsible Borneo (REBORN), Sarawak yang diwakili oleh Pengarah REBORN, Prof. Madya Dr. Hiram Ting dengan Profesor Sebrina Wang Mei Jung yang mewakili Asian Coffee Certification. Perjanjian ini adalah untuk memberi mandat kepada REBORN bagi mengeluarkan persijilan Kopi Asia di Sarawak. Hal ini membolehkan individu yang berminat, sama ada rakyat Sarawak khususnya atau Sabah yang berhasrat untuk mengkaji tentang kopi dengan lebih mendalam boleh memohon persijilan tersebut di Sarawak.

Menurut Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, kewujudan KopiLab diharapkan dapat membantu negeri Sarawak mengembangkan produk tempatan setanding dengan jenama antarabangsa seperti Starbucks pada masa yang akan datang.

Majlis ini diserikan dengan demonstrasi pembuatan kopi oleh Encik Tony Wang, seorang yang berpengalaman luas dalam bidang bancuhan kopi yang didatangkan khas dari Taiwan. Beliau menunjukkan demonstrasi pembuatan kopi ais Liberica untuk dinikmati oleh pengunjung yang hadir.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.