7 Oktober 2023, 12:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Malaysia melalui Jabatan Perangkaan (DOSM) telah dipilih sebagai Naib Pengerusi Suruhanjaya Perangkaan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-12 (OIC-StatCom), sebuah forum antara kerajaan yang amat penting dalam komuniti statistik global.

Menurut DOSM, pemilihan dan pencapaian itu adalah bukti dedikasi Malaysia untuk memajukan aktiviti statistik dan komitmen terhadap kerjasama dan diplomasi antarabangsa.

Ketua Perangkawan, YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pelantikan itu mencerminkan dedikasi DOSM yang tidak berbelah bahagi terhadap kerjasama antarabangsa dengan tujuan mempromosikan statistik rasmi dan berusaha ke arah matlamat Agenda 2030, iaitu “Leave No One Behind” .

“Sehingga kini, Malaysia merupakan satu daripada negara yang utama dalam penyediaan kepakaran dan akan meneruskan komitmen ke arah sistem statistik yang lebih berkesan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh DOSM.

Ketua Perangkawan, YBhg. Dato’ Sri Dr Mohd Uzir Mahidin mengetuai delegasi Malaysia ke forum OIC-StatCom.

Beliau telah mengetuai delegasi Malaysia di forum OIC-StatCom pada 3 dan 4 Oktober lalu di Jeddah, Arab Saudi yang diadakan oleh OIC untuk meningkatkan keupayaan statistik melalui kerjasama global.

Forum itu menghimpunkan pemimpin Pejabat Perangkaan Kebangsaan negara anggota, menekankan kepentingan berkongsi pengetahuan dan pembelajaran untuk menghasilkan data yang tepat serta boleh dipercayai dalam membuat keputusan termaklum.

Pada tahun ini, DOSM berkongsi kejayaan penggunaan teknologi geospatial (GIS) dalam pelaksanaan aktiviti banci di peringkat negara dan pembangunan Indikator SDG 8, memfokuskan pekerjaan yang sesuai serta pertumbuhan ekonomi di negara ini.

Kanyataan tersebut juga memaklumkan DOSM turut memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan yang bermanfaat untuk pembangunan aktiviti suruhanjaya tersebut semasa perbincangan terbuka dengan negara anggota lain.

Sementara itu, DOSM juga telah melancarkan OpenDOSM NextGen sebagai medium yang menyediakan katalog data dan visualisasi bagi memudahkan pengguna menganalisis pelbagai data.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.