3 Oktober 2023, 14:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengadakan lawatan ke kilang Fairy Food Industries Sdn. Bhd. yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Ringan, Taman Ria Jaya, Sungai Petani, Kedah. Baginda berkenan membuat lawatan selepas mengambil bahagian dalam program kayuhan amal “MCCC Ride with HRH The Crown Prince Of Perlis” anjuran Malaysia-China Chamber of Commerce (MCCC) Perlis dan Kedah di sekitar Sungai Petani kelmarin.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengerusi Fairy Food Industries Sdn. Bhd., Tan Ah Kiang, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tan Shua Huan dan Eksekutif Kanan, Tengku Abdul Samad Abdul Hamid. Syarikat ini diasaskan pada tahun 1983 oleh adik-beradik Tan, iaitu Tan Ah Kiang dan Tan Kooi Hwak. Syarikat ini beroperasi di lokasi No. 66, Jalan Ibrahim, Sungai Petani dengan nama Fairy Cake House pada peringkat awal.

Fairy Food Industries Sdn. Bhd. kini dikemudi oleh Pengarah Urusan, Tan Ah Kiang yang berpengalaman selama 30 tahun dalam perniagaan bersama-sama Pengarah Eksekutif, Tan Kooi Hwak. Beliau menyelia pengeluaran di bawah prosedur kawalan kualiti yang ketat dan mempunyai pengalaman dalam bidang pengeluaran bakeri selama 28 tahun.

Syarikat ini turut mempunyai 10 buah kedai cawangan termasuk 3 buah restoran di sekitar Perlis dan Kedah serta sebuah kios di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) serta tujuh buah kedai francais.

Perniagaan utama syarikat ini termasuklah pembuatan dan pengedaran kek, pelbagai jenis roti, pastri dan barangan makanan lain yang dikekalkan sehingga kini. Syarikat ini memperoleh Pensijilan Halal sejak tahun 2004 dan dipantau oleh Tengku Abdul Samad. Kilang ini juga mempunyai sijil Hazard Analysis dan Critical Control Point (HACCP) dan Good Manufacturing Practice (GMP) sejak 2016 lagi.

Pengurus Pengeluaran dan Pembuatan, Mugilan Govindaraju (kiri) mempersembahkan taklimat kepada Tuanku Raja Muda dan delegasi semasa lawatan tersebut.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan mengadakan lawatan ke kilang memproses roti, kek, pizza dan beberapa produk lain yang dihasilkan. Pengurus Pengeluaran dan Pembuatan, Mugilan Govindaraju mempersembahkan taklimat kepada baginda tentang pengoperasian setiap mesin dan proses demi proses penghasilan produk yang dikendalikan oleh 120 orang pekerja.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.