30 September 2023, 09:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah USD112.46 bilion pada akhir Ogos 2023 berdasarkan format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Bank Negara Malaysia (BNM) turut menjelaskan aset mata wang asing lain berjumlah USD1.7 juta.

Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia pada akhir Ogos 2023 tetap boleh guna. Menurut BNM mengikut format SDDS IMF, butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab, dan aset mata wang asing lain, jangkaan serta prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi kerajaan persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang.

Bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing berjumlah USD17.56 bilion. Aliran keluar jangka pendek ini termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negara oleh kerajaan dan kematangan bil antara bank dalam mata wang asing Bank Negara.

Bank pusat juga memaklumkan kedudukan jualan hadapan bersih adalah sebanyak USD22.89 bilion pada akhir Ogos 2023 dengan mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang. Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data itu tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.

Unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah USD2.23 bilion untuk tempoh 12 bulan akan datang. Menurut BNM, satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negera dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun yang berjumlah USD369.5 juta.

Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, serta tidak mempunyai kemudahan kredit dan kemudahan kredit tanpa syarat yang belum digunakan yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.