21 September 2023, 22:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur-Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadhillah Yusof berkata nilai eksport produk buluh Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 66.1 peratus, iaitu RM14.46 juta pada tahun 2022 berbanding dengan RM8.7 juta pada tahun sebelumnya.

Nilai import produk buluh bagi pada tahun 2022 adalah sebanyak RM129.18 juta dengan kebanyakannya diimport oleh negara China, Indonesia dan Vietnam. Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, transformasi secara holistik atau menyeluruh perlu dilakukan dalam  industri buluh  bagi memastikan penghasilan produk buluh bernilai tambah tinggi dicapai.

“Terdapat 577 pengusaha yang terlibat secara langsung dalam industri berasaskan buluh di Malaysia pada masa ini yang merangkumi industri papan buluh, pembinaan, perladangan, perabot, kraf tangan, makanan, arang dan tekstil,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Hari Buluh Sedunia Malaysia 2023 (WBD 2023) anjuran Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dengan kerjasama Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi, langkah proaktif perlu diambil oleh semua pihak yang terlibat secara langsung dalam pembangunan industri itu bagi memastikan pelaksanaan pembaharuan dalam rantaian pengeluaran daripada industri huluan sehingga ke peringkat hiliran.

Hal ini termasuklah mengutamakan penghasilan produk buluh dengan nilai pasaran tinggi menerusi pembangunan modal insan, inovasi dan teknologi terkini dan aspek ini hendaklah sentiasa diterapkan dalam kalangan semua pihak termasuklah usahawan, penyelidik, profesional, penggubal polisi, pereka bentuk dan yang berkaitan.

Beliau turut menyatakan bahawa Malaysia mempunyai kira-kira 70 spesies buluh termasuk 45 yang merupakan spesies tempatan dan tumbuh secara semula jadi di kawasan hutan. Semenanjung Malaysia mempunyai keluasan taburan tanaman buluh kurang lebih sebanyak 229 122.57 hektar. Namun dari segi sumbangan nilai eksport produk ini tidak besar berbanding dengan produk perkayuan lain.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadhillah Yusof dalam Majlis Perasmian Hari Buluh Sedunia Malaysia 2023.

Dari segi taburan penanaman, sebanyak 31 peratus tanaman buluh adalah di Semenanjung Malaysia, manakala 24 peratus di Sabah dan 45 peratus lagi di Sarawak.

“Saranan saya agar MTIB bekerjasama dengan Perbadanan Perusahaan kayu Sarawak (STIDC) dalam membangunkan industri buluh negara”, katanya.

Kementerian Perladangan dan Komoditi menerusi MTIB membangunkan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia 2021-2030 yang menumpukan terhadap lima strategik bagi memastikan industri buluh terus berkembang maju.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan) FRIM, Dr. Norwati Muhammad. Dalam majlis itu juga, Datuk Seri Fadhillah Yusof melancarkan buku yang bertajuk Industri Arang Buluh di Malaysia terbitan MTIB dan FRIM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.