20 September 2023, 23:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

New York – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan bahawa dua buah firma elektrik dan elektronik (E&E) utama Amerika Syarikat (AS) bakal mengembangkan operasi mereka ke Malaysia dan satu firma tersebut dijangka melabur sekurang-kurangnya RM500 juta.

Alton Industry Ltd Group (Alton Group) iaitu pembekal global alatan pengguna dan komersial, perkakas dan penjagaan lantai akan melabur RM500 juta untuk menubuhkan kemudahan pembuatan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Johor. Kemudahan tersebut dijadual siap pada tahun 2024 telah diumumkan semasa pertemuan antara menteri dan David Lu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Alton Group. Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan bahawa keputusan Alton Group untuk menubuhkan kemudahan pembuatan dan R&D di Malaysia mencerminkan keyakinan syarikat ini terhadap daya tarikan negara sebagai destinasi pelaburan.

Pelaburan itu juga sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) Malaysia yang dilancarkan baru-baru ini yang bertujuan untuk mewujudkan persekitaran mesra pelaburan dan menggunakan teknologi terkini untuk meningkatkan ekosistem sektor pembuatan. Selain itu, syarikat itu turut berhasrat untuk melabur lebih RM2 bilion dalam tempoh tujuh tahun akan datang bagi pengembangan dan pertumbuhannya.

Sementara itu, sebuah lagi firma AS iaitu Top-Line Furniture Corporation (Top-Line) telah melahirkan hasrat untuk meningkatkan importnya dari Malaysia dalam beberapa tahun akan datang kepada RM230 juta setahun. Syarikat itu telah mengimport perabot rumah dari Malaysia sejak tahun 2000 dengan jumlah import kira-kira RM840 juta setakat ini. Pengimport perabot besar dan pengedar borong terkemuka yang berpangkalan di Chicago, Illinois itu mempunyai rangkaian pusat pengedaran yang meluas di seluruh Amerika Utara dan membekalkan kepada lima syarikat perabot terbesar di rantau Mid-West.

Malaysia mengeksport RM13.86 bilion perabot ke seluruh dunia pada tahun 2022 dengan AS menjadi destinasi eksport utamanya mencatatkan RM7.24 bilion atau 52.2 peratus daripada jumlah eksport perabot negara tahun lepas. Sementara itu, Malaysia merupakan sumber keenam terbesar perabot import AS pada tahun 2022 yang menyumbang 2.78 peratus daripada jumlah nilai import perabot dan peralatan tempat tidur.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.