19 September 2023, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Timbalan Ketua Akauntan Negara (Korporat), YBrs. Puan Nor Yati Ahmad dilantik sebagai Akauntan Negara yang baharu berkuat kuasa semalam, 18 September 2023.

Pelantikan beliau bagi menggantikan Datuk Dr. Yacob Mustafa yang tamat kontrak perkhidmatan pada 2 Ogos lalu. Hal ini telah diumumkan oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) dalam satu kenyataan semalam.

JANM ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih tidak terhingga kepada kerajaan atas kepercayaan yang diberikan kepada bagi YBrs. Puan Nor Yati Ahmad menggalas tugas dan amanah sebagai Akauntan Negara,” katanya dalam kenyataan semalam.

Surat pelantikan beliau sebagai Akauntan Negara telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr. Zulkapli Mohamed di Jabatan Perkhidmatan Awam semalam. Beliau yang mempunyai kelulusan Master of Accountancy And Finance dari University of Adelaide, Australia dan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berpengalaman sebagai penjawat awam lebih  27 tahun dengan mula menyertai sektor awam pada 1995 sebagai akauntan di Jabatan Akauntan Negara cawangan Kuala Lumpur.

Sebelum dilantik sebagai Timbalan Akauntan Negara (Korporat), beliau telah berkhidmat dalam Pasukan Pelaksanaan Perakaunan Akruan (PPPA), Jabatan Akauntan Negara sejak 2011 dan dilantik sebagai pengarahnya pada tahun 2018. PPPA bertanggungjawab dalam transformasi daripada perakaunan asas tunai ubah suai kepada perakaunan asas akruan sektor awam selaras dengan yang digariskan dalam Model Ekonomi Baharu 2010 yang antaranya bertujuan untuk membantu meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan dan perakaunan khasnya dalam kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan sektor awam amnya.

Pada masa ini, selain menjadi ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Certified Public Accountant Australia (CPAust), beliau juga menjadi salah seorang ahli lembaga di dalam International Public Sector Accounting Standards Board (IPSASB), iaitu sebuah pertubuhan antarabangsa yang membangunkan piawaian perakaunan sektor awam antarabangsa yang ditubuhkan di bawah International Federation of Accountants (IFAC). Manakala pada peringkat kebangsaan pula, beliau merupakan ahli Jawatankuasa Penasihat Piawaian Perakaunan Kerajaan yang mengeluarkan Piawaian Perakaunan Sektor Awam Malaysia (MPSAS) yang sedang dan akan digunakan oleh entiti sektor awam Malaysia dalam penyediaan penyata kewangan tahunan masing-masing selain merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penyelidikan dan Penggubalan Piawaian Perakaunan Islam untuk Waqaf, Zakat dan Baitulmal.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.