Oleh Abd Razak Osman
14 September 2023, 17:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Yan – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) telah melaksanakan penanaman padi benih secara percubaan di atas tapak seluas 15 hektar diusahakan oleh lapan orang peserta miskin menggunakan varieti benih padi MR297.

Majlis Perasmian Tuaian Padi Benih LZNK itu disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor di Tapak Smart Sawah Berskala Besar Asnaf LZNK Batu 17 Padang Lumat daerah Yan. Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Othman menyatakan bahawa para peserta Smart SBBA LZNK tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada padi benih yang dijual di pasaran dengan adanya penanaman padi benih sendiri. “Langkah ini bukan sahaja dapat menjimatkan kos penanaman padi yang tinggi, malah padi benih ini juga akan sentiasa dipantau bagi menghasilkan padi lebih bermutu dan berkualiti tinggi sekaligus memberikan hasil lebih kepada para peserta nanti.”

Menurutnya, usaha dilakukan terbukti berjaya membantu golongan petani miskin untuk keluar dari kepompong kemiskinan. Tambah beliau, golongan petani di negeri ini pasti gembira dengan inisiatif tersebut dan akan memajukan tanah terbiar dengan optimum.

YAB Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor pula menyatakan bahawa inisiatif tersebut merupakan langkah yang bijak dan akan diperluaskan ke kawasan lain. “Inisiatif LZNK ini memberi satu nafas baharu kepada pesawah. Sekurang-kurangnya, sudah ada jalan untuk kita keluarkan semua petani dari pelbagai masalah yang terkongkong pada hari ini.”

Turut hadir menyaksikan kerja tuaian benih padi itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah merangkap Pengerusi LZNK, Dato’ Seri Norizan Khazali.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.