13 September 2023, 22:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan (TAITRA) mengetengahkan lapan penggiat industri halalnya pada acara tahunan Pameran Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2023 bermula semalam.

Pempamer Taiwan itu berharap agar dapat memanfaatkan MIHAS 2023 sebagai platform untuk berkembang ke pasaran Timur Tengah dan Muslim global.

Melalui kenyataannya hari ini,  lapan penggiat itu terdiri daripada Biozyme, S&G, K.K Orchard, Huikun Firm, Dudujia Honey (GREEN UP), Pao Chung, Asia Farm dan Forever Sweety (Lao Tao Ke).

Menurut TAITRA, Dudujia Honey dan Forever Sweety merupakan contoh pempamer yang pernah menyertai ekspo Taiwan di Malaysia Ogos lalu serta dikenali dalam kalangan pengimport dan pengedar di negara ini.

Produk halal Taiwan telah mendapat tempat dalam kalangan pengguna di Malaysia.

Jelasnya lagi, ramai pengimport yang berkongsi pendapat bahawa produk Forever Sweety, iaitu teh buah kundurnya amat sesuai dengan iklim panas di Malaysia selain digemari oleh pengguna tempatan.

Pengarah Bahagian Ekonomi, Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia, James Chang dan Pengarah Pusat Perdagangan Taiwan di Kuala Lumpur, Eva Peng turut mengunjungi MIHAS 2023 semalam bagi menunjukkan sokongan serta mempromosi produk halal Taiwan.

Pameran perdagangan yang bermula semalam hingga Jumaat ini bertemakan “Paving The Way of Halal” itu diadakan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia serta menampilkan trend, teknologi serta inovasi yang merangkumi 13 kluster industri halal utama.

MIHAS merupakan pameran perdagangan halal terbesar dunia dengan penyertaan hampir 1900 gerai pameran dari 44 negara yang dihoskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia Luar Malaysia (MATRADE). Pameran ini dijangka menarik kehadiran sebanyak 35 000 pengunjung.

Dalam kenyataan yang sama, penubuhan Pusat Halal Taiwan di wilayah itu pada tahun 2017 telah menyaksikan peningkatan jumlah syarikat dengan sijil halal daripada 700 kepada 1000 syarikat yang merangkumi 2000 produk. Selain itu, Taiwan juga berada pada kedudukan ketiga dalam kalangan destinasi bukan Pertubuhan Kerjasama Islam dalam Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) 2023, iaitu selepas Singapura dan United Kingdom.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.