Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) kekal optimis dalam mencapai sasaran eksport halal Malaysia sebanyak RM63 bilion menjelang tahun 2025 berdasarkan pencapaian memberangsangkan berjumlah RM60 bilion tahun lepas.
Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan bahawa kementerian juga berhasrat untuk menyahut seruan Perdana Menteri untuk berusaha melebihi sasaran yang ditetapkan melalui Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12). Beliau menambah pasaran industri halal global semakin berkembang dan industri itu dijangka meningkat kepada USD5 trilion menjelang tahun 2030.
Sebelum pandemik COVID-19, Malaysia merekodkan nilai eksport halal berjumlah RM40 bilion. Pada tahun 2022, eksport halal Malaysia mencecah hampir RM60 bilion dengan peningkatan berjumlah 64 peratus berbanding dengan tahun 2021. Kategori produk makanan dan minuman merupakan penyumbang terbesar eksport halal dengan peningkatan hampir 58 peratus, diikuti dengan produk bahan halal, kosmetik, penjagaan diri, derivatif minyak sawit, industri kimia dan farmaseutikal.