Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) sebulat suara bersetuju mengenai kepentingan dan kesegeraan untuk membentangkan Rang Undang-undang Tanggungjawab Fiskal (FRA) di Parlimen pada bulan Oktober.
Menurut Kementerian Kewangan (MoF), FRA yang digubal bersesuaian dengan konteks Malaysia dijangka akan dapat menambah baik rangka kerja perundangan fiskal negara. “Rang Undang-Undang ini mengandungi prinsip pengurusan fiskal yang kukuh dengan memberi penekanan kepada tatakelola, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pengurusan kewangan awam,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam. Tambah MoF, akta ini juga akan menekankan kebertanggungjawaban Menteri Kewangan kepada Parlimen dalam melaksanakan tanggungjawabnya menggubal dasar fiskal dan mengurus wang awam.
Sementara itu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata dengan jangkaan kelembapan ekonomi dan perdagangan global, Malaysia juga akan turut terkesan dengan pertumbuhan ekonomi negara dijangka menyederhana, namun masih sejajar dengan unjuran kerajaan sebanyak empat hingga lima peratus untuk tahun ini. “Pertumbuhan ini sebahagian besarnya didorong oleh permintaan dalam negeri, seperti yang dicatatkan oleh pertumbuhan separuh pertama 2023 sebanyak 4.2 peratus dan kerajaan akan terus merangkul seluruh kekuatan dan tenaga bagi memastikan serta mempercepat pelaksanaan semua langkah yang digariskan di bawah Belanjawan 2023 serta rangka kerja Ekonomi MADANI,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Beliau juga menekankan bahawa pelaksanaan reformasi fiskal penting untuk mengimbangi keperluan pengembangan ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat. Tambah beliau, walaupun terpaksa melakukan reformasi yang mungkin memedihkan untuk memperluas hasil negara dan menutup ketirisan daripada subsidi pukal, kita juga perlu cakna akan tantangan kos sara hidup yang dihadapi rakyat, lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi global tidak menentu. “Pendirian saya tidak pernah berganjak dalam memastikan reformasi fiskal ini tidak sama sekali membebankan rakyat yang memerlukan, malah reformasi fiskal ini masih perlu mengambil kira perbelanjaan untuk merancakkan ekonomi dan pelaburan. Maka, jujukan dan skop reformasi fiskal mesti dipertimbangkan agar tidak membawa kejutan yang drastik kepada ekonomi dan rakyat,” tambah beliau.
Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat itu semalam bagi meneliti perkembangan ekonomi negara dan kedudukan fiskal kerajaan terkini serta unjuran fiskal jangka sederhana sebagai persediaan Belanjawan 2024. Jawatankuasa tersebut membincangkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar, kedudukan fiskal kerajaan dan rangka kerja fiskal jangka sederhana untuk penyediaan Belanjawan 2024. Jawatankuasa ini juga memainkan peranan penting dalam merangka strategi, menetapkan hala tuju serta menambah baik tatakelola pengurusan kewangan awam bagi memperkukuh kedudukan kewangan kerajaan jangka sederhana dan panjang.
Mesyuarat hari ini turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican serta pegawai kanan Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Bank Negara Malaysia.