Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKangar – RHB Islamic Bank menyerahkan sumbangan zakat perniagaan sebanyak RM550 ribu untuk tahun kewangan berakhir 2022 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istisdat Melayu Perlis (MAIPs).
Jumlah tersebut merupakan sumbangan tahunan zakat korporat tertinggi bank berkenaan kepada MAIPs berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya.
Pada masa yang sama, dana zakat sebanyak RM165 ribu juga telah diagihkan untuk pembangunan bengkel jahitan di Taman Desa Asnaf, Batu Bertangkup, Chuping dan sebuah bengkel pengusahaan karipap di Kampung Sentua, Utan Aji dekat Kangar.
Penyerahan sumbangan tersebut telah dibuat oleh Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Berhad, Datuk Adissadikin Ali kepada Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor dalam satu majlis yang diadakan di Masjid Al Furqan Kg. Sentua, Kangar, dan disaksikan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Datuk Adissadikin dalam ucapannya berharap agar kolaborasi antara RHB Islamic Bank dengan MAIPs dalam memperkasakan ekonomi asnaf dan B40 yang terjalin selama beberapa tahun ini akan diteruskan pada tahun-tahun mendatang kerana telah berjaya memberikan impak positif kepada penerima.
Kerjasama ini juga merupakan manifestasi komitmen RHB Islamic Bank dalam merealisasikan visi Bank Negara Malaysia berdasarkan Pelan Sektor Kewangan 2022-2026, dan pada masa yang sama turut membantu RHB Islamic Bank dalam menguruskan agihan zakat wakalah secara efisien dan terperinci.
Tambah beliau lagi, “RHB Islamic Bank telah bekerjasama dengan pihak MAIPs melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) untuk mengoptimumkan potensi dan keberhasilan agihan zakat, terutama dari aspek pemerkasaan ekonomi dalam kalangan komuniti B40.”
DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang DiPertua MAIPs menzahirkan ucapan terima kasih kepada RHB Islamic Bank atas sumbangan dan bantuan yang telah disalurkan kepada pihak MAIPs.
Baginda turut berharap agar kerjasama antara dua pihak ini akan berterusan dan lebih banyak lagi program serta inisiatif untuk membantu golongan yang memerlukan khususnya asnaf di negeri ini akan dijalankan pada masa akan datang.
Pada program yang sama, DYTM Tuanku Raja Muda turut berkenan menyampaikan agihan zakat MAIPs kepada 70 orang asnaf terpilih dari kariah Long Boh dan 70 orang lagi dari kariah Mengkuang Layar.
Setiap asnaf akan menerima sebanyak RM700 dengan jumlah keseluruhan agihan ialah sebanyak RM98 ribu.