Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJohor Bahru – Sebanyak RM 30 juta diperuntukkan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) negeri Johor kepada usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri tersebut bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata peruntukan tersebut telah diagihkan kepada 285 usahawan melalui kemudahan skim pembiayaan perniagaan MARA yang bertujuan untuk membantu meningkatkan lagi kapasiti mereka dalam bidang perniagaan dan industri yang diceburi. “Kementerian melalui Program Start-Up Accelator (STAR) dalam Bidang Teknologi Kreatif dan Multimedia telah memberikan geran dalam bentuk kemudahan incubator MARA untuk lepasan Pendidikan dan Latihan teknikal dan vokasional (TVET) MARA yang mempunyai minat mahu meneruskan kerjaya sebagai usahawan,” jelasnya.
Menurut beliau lagi, bantuan geran peralatan turut diberikan kepada usahawan yang telah melaksanakan perniagaan tetapi masih kekurangan modal daripada sudut peralatan dan sebagainya. Datuk Rubiah Wang berkata demikian pada sidang media selepas meraikan Program Jom Bisnes Negeri Johor 2023 di Kompleks Usahawan Teknologi Mara,Technovation Park, University Teknologi Malaysia (UTM) Skudai,di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor; Mohd Hairi Mad Shah. Selain bantuan kepada usahawan, Yayasan Pelajaran MARA (YPM) turut menyalurkan bantuan persekolahan kepada 100 orang pelajar yang kurang berkemampuan meliputi tiga buah sekolah terpilih termasuk bantuan cermin mata.
Sementara itu, Datuk Rubiah Wang berkata Program Gate To Global (GTG) anjuran MARA membuka peluang kepada Bumiputera untuk bersaing di peringkat global. Menurutnya, seramai 167 usahawan terlibat di bahawa program GTG setakat ini dan sebanyak 57 usahawan daripada jumlah tersebut merupakan usahawan yang dibantu oleh kementerian, mengadakan promosi dengan bekerjasama dengan agensi tertentu melalui ekspo dan pameran di luar negara.
Selain itu, usahawan yang berpotensi dan memiliki pensijilan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dapat menyertai GTG melalui promosi, ekspo antarabangsa dan seterusnya mendapat akses untuk mengeksport produk mereka ke luar negara melalui padanan perniagaan dengan penggiat industri. Menurutnya, syarat untuk menyertai GTG adalah sekurang-kurangnya produk yang dihasilkan dipasarkan di dua negara peringkat antarabangsa dan tahun lepas kementerian telah membawa tiga usahawan untuk mengadakan ekspo dan pameran di Dubai untuk membuat jaringan perniagaan dengan pihak yang berkepentingan. “Program Jom Bisnes Negeri Johor 2023 yang dianjurkan MARA ini memainkan peranan penting dalam memberi pendedahan kepada orang ramai berkenaan program keusahawanan dan pendidikan yang disediakan agensi itu ,” ulasnya.