Diterbitkan pada 4 September 2023, 09:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kerajaan bersetuju meluluskan sebahagian permohonan pekerja asing bagi memenuhi tiga sektor iaitu kedai gunting rambut, kedai emas dan tekstil yang sebelum ini dibekukan. Walau bagaimanapun, Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah meletakkan syarat agar golongan belia tempatan harus diberikan latihan bagi mengisi keperluan tenaga kerja melibatkan tiga sektor berkenaan.

Beliau menjelaskan bahawa kelulusan yang diberikan hanya sedikit dan mengarahkan kementerian sumber manusia untuk memberi latihan kepada golongan muda seperti TVET Program Pendidikan dan Latihan teknikal dan vokasional Malaysia (TVET ) atau Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN). Tambah beliau lagi perkara tersebut akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat ini kerana melibatkan keperluan segera. Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Lestari Niaga @Kuala Lumpur D’medan Selera Madani di Kompleks Tun Sambathan. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Sarawathy Kandasami.

Selain itu, Perdana Menteri juga turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM 10 juta bagi menaik taraf gerai dan warung di seluruh Kuala Lumpur. Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar menyatakan bahawa jumlah tenaga kerja asing yang diperlukan untuk sektor melibatkan kedai gunting, tekstil dan kedai emas adalah kira-kira 15 000 orang. Menurut beliau lagi, banyak usaha yang telah diambil untuk membolehkan orang tempatan bekerja dalam sektor ini namun terdapat banyak kekangan yang menyebabkan mereka sukar untuk mendapatkan tenaga kerja tempatan, maka permintaan untuk ketiga-tiga sektor ini berterusan bertahun-tahun.

Ketiga-tiga sektor ini menghadapi masalah sejak beberapa tahun kerana mereka tidak boleh membawa pekerja asing untuk bekerja kerana permohonan tersebut telah dibekukan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi