30 Ogos 2023, 17:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Menteri Kewangan telah meluluskan pelantikan Encik Adnan Zaylani bin Mohamad Zahid sebagai Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 September 2023. Menurut BNM, beliau akan bertanggungjawab menyelia sektor pasaran kewangan dan pembangunan.

“Beliau juga akan menjadi ahli lembaga pengarah BNM dan terus menganggotai pelbagai jawatankuasa BNM termasuk sebagai ahli Jawatankuasa Pengurusan, Jawatankuasa Dasar Monetari, Jawatankuasa Pengurusan Rizab, Jawatankuasa Pengurusan Risiko Kewangan, Jawatankuasa Kestabilan Kewangan dan Jawatankuasa Dasar Bersama,” kata BNM dalam satu kenyataan yang dikeluarkannya hari ini.

Beliau memulakan kerjayanya di BNM pada tahun 1994 dan merupakan pemegang Ijazah Sarjana Dasar Awam dari Blavatnik School of Government, University of Oxford. Selain itu, beliau turut memiliki Ijazah Sarjana Sains dalam bidang ekonomi pasaran global dan Sarjana Muda Sains dalam bidang ekonomi dari London School of Economics and Political Science. Sepanjang tempoh kerjayanya selama 29 tahun dengan BNM, beliau telah terlibat dalam pelbagai bidang perbankan pusat yang merangkumi pelaburan dan pasaran kewangan, dasar pertukaran asing, kewangan Islam serta pembangunan sektor kewangan.

Beliau kini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pasaran Kewangan dan ahli Jawatankuasa Eksekutif International Islamic Liquidity Management Corporation, ahli lembaga pengarah Kumpulan Wang Amanah Persaraan dan ahli lembaga pengarah International Centre for Education in Islamic Finance.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.