Diterbitkan pada 29 Ogos 2023, 08:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) kali pertama bagi tahun ini bersetuju melaksanakan inisiatif single window dalam menyelaras dan menyusun semula fungsi kerjasama merentasi agensi dan penggiat ekosistem syarikat pemula di negara ini.

Menurut Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Malaysia menyasarkan untuk berada dalam kalangan 20 negara utama ekosistem syarikat pemula global menjelang tahun 2030 serta membangunkan Kuala Lumpur sebagai hab syarikat pemula dan digital serantau. “Sehubungan itu, Majlis telah bersetuju dengan pelaksanaan inisiatif bagi memperkukuhkan ekosistem syarikat pemula serta meningkatkan keterlibatan dan prestasi syarikat pemula tempatan,” katanya dalam satu kenyataan semalam. Beliau berkata inisiatif itu menetapkan sasaran untuk mewujudkan 5000 syarikat pemula menjelang tahun 2025 dan sehingga kini terdapat sekurang-kurangnya 14 agensi yang terlibat dalam ekosistem syarikat pemula merangkumi aspek pembiayaan, pembangunan produk, pemasaran dan kepakaran.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Majlis tersebut turut bersetuju untuk mempercepat pelaksanaan Projek Pembangunan Identiti Digital Nasional (IDN) di bawah Jabatan Pendaftaran Negara. Katanya, IDN merupakan suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri secara digital dengan merujuk sumber tunggal yang sahih berdasarkan ciri-ciri biometrik individu. “IDN akan bertindak sebagai platform pengenalan diri digital yang boleh diyakini untuk pengesahan maklumat individu semasa mendapatkan perkhidmatan daripada penyedia perkhidmatan bagi memastikan transaksi dalam talian berada dalam persekitaran digital yang fleksibel dan selamat apabila siap kelak,” jelasnya.

Tambah beliau, pelaksanaan IDN ini adalah antara inisiatif di bawah Teras Memacu Transformasi Digital Sektor Awam dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, seiring dengan hasrat Ekonomi MADANI untuk mengangkat negara sebagai peneraju ekonomi Asia dan meningkatkan kesejahteraan rakyat. Katanya, kerajaan akan terus mempertingkatkan program pendigitalan sektor awam untuk memastikan kemajuan digital yang mapan dan memacu agenda transformasi digital negara.

MED4IRN dianggotai barisan menteri selaku Pengerusi Kluster dan inisiatif ekonomi digital serta ahli lantikan yang terdiri daripada wakil sektor swasta, industri, ahli akademik, kumpulan pemikir dan pertubuhan masyarakat sivil yang telah dipilih melalui permohonan terbuka yang berperanan untuk mempercepat pelaksanaan inisiatif terkait agenda transformasi digital negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi