Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJohor Bahru – Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam Jelajah Belanjawan 2024 bagi peringkat negeri Johor menekankan agar semua kementerian mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan masing-masing bagi memastikan Belanjawan 2024 menyeluruh dan seleras dengan kerangka ekonomi MADANI.
Menurut Perdana Menteri, pihaknya akan melaksanakan libat urus Belanjawan 2024 di semua negeri dan kementerian juga akan mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan bagi mendengar cadangan dan pandangan mereka menjayakan Belanjawan MADANI kedua. “Kerajaan akan memastikan tatakelola yang baik serta mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam bagi memudahcarakan perniagaan (ease of doing business) dan merealisasikan pelaburan yang berkualiti ke Malaysia,” katanya ketika berucap dalam jelajah belanjawan tersebut.
Perdana Menteri turut mengumumkan komitmen kerajaan untuk menambah aktiviti yang berkaitan bagi menyokong pembangunan zon kewangan khas di Forest City sebagai pelengkap aktiviti pelaburan bernilai tinggi di Iskandar Malaysia. Tambah beliau, kemudahan yang akan ditawarkan kepada syarikat dan individu yang layak seperti pemberian insentif cukai berkadar khas, pemberian kadar cukai 15 peratus kepada pekerja berpengetahuan dan kemudahan laluan pantas di imigresen untuk memudah cara kemasukan golongan berkepakaran dari luar negara.
Katanya, sehubungan itu, selaras dengan pendekatan Kerajaan Perpaduan yang menitikberatkan budaya musyawarah, yakni perbincangan dan perundingan, kerajaan amat mengalu-alukan cadangan komuniti perniagaan tempatan untuk memperkasakan lagi ekosistem ekonomi setiap negeri. “Jelajah Belanjawan 2024 memberi peluang kepada Kerajaan Perpaduan untuk mendapatkan buah fikir dan pandangan daripada segenap lapisan masyarakat agar Belanjawan 2024 mencerminkan denyut nadi dan aspirasi rakyat,” tambah beliau,
Turut hadir dalam jelajah belanjawan tersebut ialah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Dato’ Ghazi, Timbalan Menteri Kewangan I, YB Datuk Seri Ahmad Maslan, Pegawai Kewangan Negeri Johor, YB Dato’ Salehuddin Haji Hassan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) sedang giat melaksanakan Program Jelajah Belanjawan 2024 Peringkat Negeri sebagai persiapan bagi penyediaan Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan pada 13 Oktober 2023. Jelajah Belanjawan 2024 akan melibatkan semua negeri termasuk sesi libat urus dengan sektor industri utama, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat. Program jelajah ini dijangka berakhir pada 22 September 2023.
MOF turut menganjurkan beberapa siri perbincangan bersama-sama pelbagai pihak berkepentingan seperti penjawat awam, swasta, teknokrat, NGO, persatuan, ahli akademik serta rakyat bagi memastikan penyediaan belanjawan yang menyeluruh dan memenuhi hasrat segenap lapisan masyarakat dan entiti di Malaysia. Orang ramai yang ingin memberikan cadangan dalam Belanjawan 2024, boleh berbuat demikian sebelum 14 September 2023 melalui portal rasmi cadangan Belanjawan 2024 di https://belanjawan.mof.gov.my/ms/cadangan2024/.