Oleh Abd Razak Osman
6 Ogos 2023, 19:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) 2023 anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mendapat sambutan meriah daripada masyarakat setempat melalui Jualan Agro MADANI @ Pasar Tani Sungai Petani, Kedah, pada hari ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Tuan Chan Foong Hin yang hadir di Pasar Tani Sungai Petani pada pagi ini berkata bahawa Sungai Petani dipilih sebagai lokasi utama kerana mencatat bilangan pengunjung paling ramai.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada semua agensi di bawah KPKM termasuklah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang memberikan kerjasama bagi menjayakan program ini.

Timbalan Ketua Pengarah LPP, Encik Amir Matamin (kanan) menyampaikan cenderahati kepada YB Tuan Chan Foong Hin (kiri) di Pasar Tani Sungai Petani, Kedah.

Pada tahun ini, KPKM menyasarkan 5000 lokasi Jualan Agro MADANI di seluruh negara yang melibatkan penyertaan sebanyak 46 000 orang usahawan dengan nilai jualan mencecah RM39 juta.

Setakat ini, Jualan Agro MADANI berjaya mencatatkan nilai jualan sebanyak RM21.3 juta setelah diadakan di 807 lokasi seluruh negara melibatkan sebanyak 12 720 usahawan tempatan dengan nilai penjimatan sebanyak RM6.39 juta bagi 1.61 juta isi rumah.

KPKM juga menyasarkan nilai jualan sebanyak RM96o ribu melalui Jualan Agro MADANI yang diadakan serentak di 192 lokasi seluruh negara pada hari ini.

Jualan Agro MADANI pada hari ini dianggarkan dapat memberikan manfaat kepada 15 360 isi rumah dengan nilai penjimatan yang dianggarkan mencecah RM288 ribu.

Turut hadir di Jualan Agro MADANI @ Pasar Tani Sungai Petani ialah Pengerusi FAMA, Encik Aminuddin Zulkipli; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA, Encik Faisal Iswardi Ismail; Timbalan Ketua Pengarah LPP, Encik Amir Matamin dan Pengarah FAMA Negeri Kedah, Puan Zuriana Mat Adam.

Pada 6 Ogos 1972, Perdana Menteri Malaysia Kedua, Tun Abdul Razak Hussein telah mengisytiharkan tarikh 6 Ogos sebagai Hari Peladang bersempena dengan Gerakan PEMBAHARUAN di Dungun, Terengganu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.