Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFoto ihsan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Los Angeles – Perusahaan Amerika Syarikat khususnya yang sudah menembusi pasaran Malaysia dialu-alukan untuk meneroka peluang pelaburan baharu yang disediakan di negeri Perlis.
Demikian titah Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail melalui siaran media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas berkenan berangkat menyempurnakan penyerahan “Sumbangan Tabung Ibnu Sabil MAIPs” kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles, Puan Anil Fahriza Adenan, baru-baru ini.
Baginda selaku Yang Dipertua MAIPs menyerahkan sumbangan Tabung Ibnu Sabil sebanyak RM5000 kepada beberapa buah Pejabat Perwakilan di luar negara yang terpilih untuk membantu rakyat Malaysia yang berhadapan dengan situasi kecemasan, terputus bekalan sara diri atau terkandas untuk kembali ke tempat asal.
Puan Anil Fahriza dalam ucapannya berkata bahawa negeri Perlis merupakan satu daripada negeri yang mendapat manfaat pelaburan berdasarkan kedudukan strategiknya di sempadan Thailand, kekuatan sektor pertanian dan pembangunan logistik yang menyeluruh.
Tambah beliau,
Kewujudan Chuping Valley Industrial Area (CVIA) dan Perlis Inland Port (PIP) yang sedang dibangunkan akan mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di negeri Perlis dan seterusnya menarik lebih banyak pelaburan berkualiti dan berteknologi tinggi.
Antara perusahaan Amerika Syarikat yang melabur di Perlis termasuklah Jabil Circuit (syarikat elektrik dan elektronik), Mediquip yang dimiliki oleh Cardinal Health (syarikat pembuatan sarung tangan getah dan peralatan kesihatan) dan Iriichi (usaha sama dengan Sojitz America).
Jelas beliau lagi, sektor sasaran seperti sektor pengilangan hijau, tenaga boleh baharu dan industri halal menjadi fokus utama pentadbiran Amerika Syarikat yang menggalakkan pertumbuhan ekonomi hijau dan bersih.
Pada tahun 2022, Amerika Syarikat menjadi rakan dagang ketiga terbesar Malaysia dengan jumlah US$60.71 bilion (RM267.59 bilion), mencatat peningkatan sebanyak 16% berbanding dengan tahun 2021.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda bongsu, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Turut hadir ialah Naib Presiden Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Los Angeles, Encik Akbal Setia; dan Pesuruhjaya Perdagangan, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Los Angeles, Encik Irvin Francis.
