Diterbitkan pada 4 Ogos 2023, 21:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bank Simpanan Nasional (BSN) telah menjalinkan kerjasama strategik dengan Visa untuk memacu pertumbuhan sektor e-dagang dalam kalangan pemain sektor industri mikro, kecil dan sederhana (PMKS). BSN dan Visa komited untuk memupuk Pembangunan PMKS melalui penganjuran program latihan perdagangan digital “Accelerate My Business” (AMB) melalui kerjasama ini.

Sebanyak 750 PMKS BSN terpilih akan mengikuti 27 sesi latihan komprehensif yang dibahagikan kepada dua bengkel modul bagi mengembangkan perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi di 13 lokasi seluruh negara termasuklah Sabah dan Sarawak. Latihan itu bertujuan untuk memacu pembangunan pembiayaan digital yang akan meningkatkan ilmu kewangan bagi membolehkan pemain industri PMKS mempertimbangkan lebih banyak pilihan pembiayaan bagi memajukan perniagaan.

Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil menyatakan bahawa pihaknya sentiasa prihatin terhadap keperluan masyarakat dengan mempelbagaikan produk dan perkhidmatan bagi memenuhi keperluan pelbagai segmen. Beliau menambah kerjasama strategik dengan Visa bertepatan dengan misi BSN untuk memacu transformasi digital mikro PMKS bagi meningkatkan tahap operasi dan daya saing dalam persekitaran perniagaan masa ini.

Pengurus Visa Malaysia, Ng Kong Boon menyatakan bahawa perniagaan PMKS merupakan tonggak ekonomi Malaysia. Pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan BSN untuk memperkasakan usahawan PMKS bagi meningkatkan pendapatan dan memajukan perniagaan mereka. Sepanjang latihan dijalankan, para peserta akan dilengkapi dengan kemahiran keusahawan penting seperti pengurusan perniagaan, celik kewangan, kecekapan operasi dan strategi perniagaan digital.

Platform AMB akan memainkan peranan penting untuk menyediakan pelbagai sumber bimbingan praktikal kepada para peserta. Sumber bimbingan itu meliputi aktiviti interaktif, lembaran kerja, alat pernilaian kendiri, glosari dan bahan tambahan untuk menyokong perjalanan keusahawanan mereka. Latihan AMB akan bermula pada Ogos 2023 hingga Mac 2024.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi