Oleh Abd Razak Osman
3 Ogos 2023, 23:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) melaksanakan Program Tanaman Padi Bersepadu (PTPB) di Kampung Nam Dam, Kubur Panjang, Pendang, Kedah dengan memperkenalkan baja sebatian formulasi baharu sebagai penggalak tambahan (booster) yang berjaya memberi peningkatan hasil tanaman optimum sekali gus meningkatkan pendapatan pesawah.

Projek diterajui NAFAS bersama syarikat subsidiari NAFAS, Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd (MNFSB) dilaksanakan dengan kerjasama beberapa pemain industri, termasuk Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi menyokong hasrat kerajaan dalam merangka Modul Tanaman Padi yang mampu meningkat Tahap Sara Diri (SSL) padi dan beras negara daripada 70 peratus kepada 75 peratus. Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) MNFSB, YBhg Datuk Aimi Jusoh berkata, MNFSB berfungsi sebagai kilang pengeluar baja sebatian untuk petani seluruh negara melalui skim baja subsidi dan kerajaan komited memastikan para petani mendapat baja terbaik bagi menjamin hasil tanaman padi.

“Projek sulung PTPB di Kampung Nam Dam, Pendang ini bakal memberi manfaat kepada 68 orang pesawah ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kubur Panjang melibatkan keluasan 70 hektar untuk penanaman padi dikendalikan sepenuhnya oleh Encik Jaafar Zakaria yang berpengalaman lebih 25 tahun di dalam industri penanaman padi.” Melalui kaedah penanaman PTPB ini, purata hasil pengumpulan bagi satu musim menunjukkan peningkatan sebanyak 7 tan metrik per hektar berbanding 2.95 tan metrik per hektar yang terhasil pada musim sebelum ini.

Sementara itu, Pengerusi MARDI, YBrs Dr. Azman Ismail turut komited dalam kerjasama strategik pembangunan dan penyelidikan (R&D) bersama NAFAS dalam usaha penambahbaikan formula baja baharu dan menyokong hasrat NAFAS dalam usaha memberi yang terbaik kepada pesawah terutamanya berkaitan baja dan benih padi. “MARDI dan NAFAS sebagai institusi yang menjadi tulang belakang sektor pertanian pastinya akan sentiasa berada dalam barisan hadapan serta bersedia untuk melaksana pelbagai perubahan, mengharungi cabaran dalam memastikan industri pertanian terus proaktif dan seiring dengan perkembangan teknologi semasa.”

Turut hadir Pengurus Kanan Kumpulan Perancangan Perniagaan (Wakil Pengurusan NAFAS), Encik Aminuddin Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif MNFSB, YBrs Abd. Halim Hamzah dan Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, YBhg Datuk Ismail Umar merangkap AJP MNFSB.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.