Diterbitkan pada 28 Julai 2023, 20:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan bahawa inflasi  mereda dan pasaran buruh yang bertambah baik merupakan penunjuk positif untuk ekonomi Malaysia. Inflasi terus menurun pada Jun 2023 kepada kadar terendahnya pada separuh pertama 2023 yang menandakan paras terendah baharu 2.4% daripada 2.8% pada Mei 2023.

Selain itu, pasaran buruh Malaysia terus bertambah baik pada Mei 2023 dengan bilangan pekerja meningkat sebanyak 2.4% tahun ke tahun kepada 16.28 juta orang. Keadaan itu turut ditambah dengan peningkatan dalam nisbah pekerjaan kepada penduduk yang meningkat kepada 67.6% daripada 66.8% pada tahun sebelumnya. Keseluruhan tenaga buruh juga meningkat sebanyak 2.0% tahun ke tahun kepada 16.86 juta orang. Hasilnya, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) menokok sebanyak 0.5 mata  mencecah 70.0% manakala kadar pengangguran menyaksikan penurunan 0.4% dengan merekodkan 3.5% pada Mei 2023.

Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia telah mengalami pemulihan signifikan dengan merekodkan pertumbuhan positif 4.7%. Angka itu merupakan peningkatan yang ketara berbanding negatif 3.3% yang dicatatkan pada bulan sebelumnya. Pada masa yang sama, sektor pembuatan negara mencatatkan pemulihan kukuh pada Mei 2023 dengan mencapai RM146.8 bilion, meningkat sebanyak 3.3% manakala sektor perdagangan borong dan runcit merekodkan peningkatan 6.65 pada Mei 2023 berbanding tahun sebelumnya.

Sementara itu, Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia meneruskan aliran penurunan dengan mencatatkan negatif 4.8% pada bulan lepas daripada negatif 4.6% pada bulan sebelumnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi