Diterbitkan pada 27 Julai 2023, 21:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata tahap keterjaminan makanan di Malaysia stabil dan bekalan makanan dalam negara diyakini mencukupi bagi menampung keperluan domestik.

Walau bagaimanapun, agenda keterjaminan makanan negara ini memerlukan penglibatan semua pihak untuk membuat perancangan dan hala tuju pembangunan industri agromakanan negara. “Malaysia berada di tangga ke-41 daripada 113 negara dengan skor 69.9 dan di tangga kedua selepas Singapura dalam kalangan negara Asia Tenggara berdasarkan indeks keterjaminan makanan global (GFSI) 2022,” katanya dalam ucaptama Program Ministerial Forum Mengenai Keterjaminan Makanan Negara 2023.

Beliau juga telah menggariskan lima fokus utama Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM) tahun ini bagi menjayakan agenda keterjaminan makanan, selaras pelan tindakan dasar sekuriti makanan negara dan dasar agromakanan negara 2.0. “Antara fokus pertama ialah pemerkasaaan industri akuakultur bertujuan untuk mengurangkan tekanan kepada permintaan sumber perairan semula jadi di samping dapat meningkatkan pendapatan menerusi industri ini. Seterusnya, memperluas penternakan lembu secara fidlot untuk memperkasakan pengeluaran bekalan daging tempatan serta eksport,” jelasnya. Ketiga ialah penanaman jagung bijan sebagai sasaran peningkatan pengeluaran jagung bijan sebanyak 30 peratus menjelang tahun 2032 bagi mengurangkan kebergantungan import.

Jelasnya lagi, penglibatan belia  yang berkecimpung dalam sektor agromakanan dan pertanian harus dipertingkatkan kerana cabaran utama bagi sektor tersebut ialah isu pekerja asing dan petani menua. Institut latihan pertanian juga akan ditambah baik oleh KPKM supaya dapat melahirkan graduan berkualiti tinggi dalam bidang teknologi pertanian, penyelidikan dan pembangunan serta pertanian moden dan pintar, seiring hasrat negara membentuk pekerja mahir pertanian. Beliau juga menyatakan bahawa komitmen semua pihak adalah amat diharapkan bagi meningkatkan keterjaminan makanan di samping usaha mengurangkan kebergantungan terhadap import.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi