Oleh Abd Razak Osman
22 Julai 2023, 11:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar – Pelancaran Bank Makanan Rahmah dan Menu Rahmah di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah semalam dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Bank Makanan UUM menerusi Jabatan Hal Ehwal Pelajar UUM telah memberikan manfaat kepada lebih daripada 6500 orang pelajar, khususnya daripada golongan B40 yang memerlukan dan kini diperluaskan ke Inapan Siswa (INASIS) yang akan dinikmati kira-kira 1000 orang pelajar yang menginap di situ bagi mengurangkan beban mereka.

“Antara barangan yang terdapat dalam Bank Makanan termasuklah minuman segera tiga dalam satu, mi segera, roti, gula, sardin di dalam tin, biskut, minuman ringan, jem dan makanan bijirin,” kata Naib Canselor UUM, YBrs. Profesor Dr. Mohd Foad Sakdan.

Menurut beliau, Menu Rahmah seperti kuetiau goreng, mi goreng dan bihun goreng berserta minuman berharga RM5 juga ditawarkan di UUM, terutamanya bagi golongan B40 agar mereka mampu membeli makanan pada harga yang berpatutan.

Dalam majlis tersebut, sesi penyerahan Bakul Rahmah juga diberikan kepada dua orang pelajar orang kurang upaya (OKU), iaitu Muhammad Alif Ahmad Tarmidi (23 tahun), pelajar Semester Enam, Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan dan Ahmad Danial Kaml Mubarak Khan (21 tahun), pelajar Semester Dua, Sarjana Muda Sains (Sains Pemutusan).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Datuk Seri Salahuddin Ayub (dua dari kanan) menyampaikan Bakul Rahmah kepada pelajar OKU, Muhammad Alif Ahmad Tarmidi (dua dari kiri).

Pada masa yang sama, YB Datuk Seri Salahuddin Ayub berkesempatan membuat lawatan sesi libat urus bersama-sama mahasiswa di tapak konvokesyen UUM bersempena dengan Pesta Konvokesyen UUM ke-35 pada tahun ini.

Seterusnya, beliau melancarkan Jelajah Jualan Rahmah Peringkat Negeri Kedah dan menyampaikan sumbangan Bakul Rahmah kepada 300 orang pelajar dan 10 orang kakitangan terpilih semasa melawat tapak niaga (Menu Rahmah) tersebut.

Program Jualan Rahmah telah bermula sejak April 2023 yang lalu dan dijalankan menerusi tiga kaedah, iaitu jualan di dalam premis, jualan di luar premis dan jualan secara bergerak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.