Oleh Abd Razak Osman
25 Jun 2023, 13:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Petani – MATTA Fair 2023 berlangsung selama tiga hari bermula pada 23 Jun hingga 25 Jun 2023 di kompleks beli-belah, Central Square Sungai Petani, Kedah. Inilah julung-julung kalinya pameran seumpama itu diadakan di negeri Kedah.

Pengerusi MATTA Kedah/Perlis, P. Subramaniam berkata, pameran yang diadakan berjaya mengeratkan hubungan baik para petugas syarikat pelancongan di negara ini selepas pandemik COVID-19. Menurutnya, langkah tersebut memberikan banyak manfaat dalam meningkatkan jualan perniagaan masing-masing.

Exco Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan Negeri Kedah, Encik Mohd Firdaus Ahmad ketika merasmikan pameran itu semalam berkata, orang ramai perlu berhati-hati membuat pembelian pakej percutian atau umrah agar tidak terpedaya dengan tawaran yang ada termasuklah daripada penipu (scammer).

“Sebelum membuat sebarang pembayaran, pastikan syarikat itu wujud dan ada lesen serta mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Sebanyak 32 syarikat telah menyertai MATTA Fair Kedah pada kali ini yang menawarkan pelbagai jualan pakej menarik dan murah, termasuklah pakej umrah, perhotelan dalam negeri dan luar negara serta tawaran lain dalam usaha merancakkan industri pelancongan negara.

Yang turut hadir bersempena dengan pameran tersebut termasuklah Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara, Encik Shahrul Aman Sabir Ahmad, Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat, Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP), Dr. Mohd Amin Ali dan Timbalan Pengerusi Pelancongan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Dr. Azmil Munif Mohd Bukhari.

Encik Mohd Firdaus Ahmad (tengah) melawat sebuah gerai pameran.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.