19 Mei 2023, 12:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) telah dimeterai oleh pengurusan tertinggi kedua-dua pihak diketuai oleh YBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom Sairi, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL dan YBhg. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP.

MoU itu dimeterai hasil kesepakatan dua entiti penting negara yang berbeza lapangan profesional menyahut saranan membangun negara MADANI khususnya dalam hal pendidikan percukaian serta perkembangan bahasa dan sastera berdasarkan fungsi masing-masing. Antara agenda kerjasama utama yang disepakati termasuklah Program Cakna Percukaian HASiL – DBP. Kerjasama ini memperkukuh dan memperluas program kesedaran cukai kepada masyarakat melalui pelbagai wahana penerbitan dan saluran media sosial DBP. Selain itu, bakat pengkaryaan turut digilap melalui kerjasama pengembangan bakat sastera dan penulisan.

Dalam ucapan Ketua Pengarah DBP, YBhg. Dr. Hazami Jahari, beliau menyatakan bahawa jalinan kerjasama strategik ini juga diyakini dapat meneroka pembangunan bakat kakitangan di kedua-dua agensi dalam hal percukaian, menyuburkan semangat cinta akan bahasa dan sastera kebangsaan yang mengimbangi kemajuan ekonomi, di samping kemajuan insaniah dalam pembentukan negara bangsa gemilang masa depan.

Ketua Pengarah DBP, YBhg. Dr. Hazami Jahari menyampaikan ucapan alu-aluan.

Sementara itu, YBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom Sairi dalam ucapannya menjelaskan bahawa kerjasama yang dijalinkan dengan DBP ini merupakan antara inisiatif HASiL dalam merakyatkan percukaian selaras dengan pendekatan kesedaran (awareness), pendidikan (education) dan perkhidmatan (services) atau ringkasnya AES yang dilaksanakan oleh HASiL pada masa ini. Pendekatan tersebut diharapkan dapat memberikan kefahaman terhadap masyarakat tentang fungsi dan peranan cukai dalam pembangunan negara sekali gus mendorong mereka untuk melaksanakan tanggungjawab percukaian kepada negara. Semoga pelaksanaan MoU ini memberi impak terhadap pematuhan cukai sukarela dan seterusnya menyumbang kepada kelestarian hasil negara.

Turut hadir dalam majlis yang bersejarah ini ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP,  Tuan Haji Md Johari Hasan,  Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) HASiL, Puan Wan Ramiza Wan Ghazali,  dan pegawai-pegawai kanan dari kedua-dua agensi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.