17 Mei 2023, 14:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh mengalu-alukan lebih banyak pelabur dari Malaysia untuk datang mencari peluang yang sedia ada ditawarkan oleh negara Kemboja. Antara sektor yang boleh diceburi ialah telekomunikasi, pertanian, pemakanan dan infrastruktur. Pertumbuhan ekonomi negara Kemboja yang semakin pesat menjadi faktor tarikan utama ramai pelabur asing mengambil peluang untuk menjalankan pelbagai perniagaan mereka di negara tersebut.

Kerajaan Kemboja komited untuk menjadikan negara berkenaan sebagai sebuah destinasi perdagangan antarabangsa dan usaha itu berjaya menarik minat para pelabur besar seperti negara China yang telah banyak membantu Kemboja dalam menjana ekonominya dalam Rangka Pelan Tahun 2020-2025. Demikian menurut siaran media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dipersembah maklumkan oleh Duta Besar Malaysia ke Cambodia, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim kepada Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perlis,  Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh bagi mengucapkan selamat berangkat pulang ke tanah air kepada Baginda semalam.

Turut berada di lapangan terbang ialah Pengerusi Jawatankuasa Panel Timbangtara Sukan SEA, Datuk M.Rajasekaran dan Mantan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo. Duli Yang Maha Mulia Tuanku Pemangku Raja dan Duli Yang Teramat Mulia, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berada di Phnom Penh bagi menyaksikan Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-32 yang berlangsung di Kemboja.

Pada hari keberangkatan tiba Baginda, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs telah berkenan menyerahkan sumbangan Tabung Ibnu Sabil MAIPs bernilai RM5000 kepada Penasihat Kedutaan, Nur Herzazilla Ghazali dan Setiausaha Ketiga, Mohd Syazwan Mohd Nasir yang menerima bagi pihak Pejabat Kedutaan. Sumbangan tersebut adalah untuk digunakan bagi membantu rakyat Malaysia yang berdepan situasi kecemasan, terputus bekalan sara diri,  terkandas untuk kembali ke tempat asal atau bagi meneruskan perjalanan.

Pada kesempatan yang sama, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra menitahkan harapan supaya semua pihak di negeri Perlis akan mempergiatkan lagi usaha  bagi membolehkan negeri Perlis berada setanding negeri maju yang lain. Kesinambungan projek yang dirancang terdahulu serta perancangan pembangunan baharu yang berpotensi hendaklah diketengahkan dengan lebih agresif, pantas dan berimpak.

Sumber foto: MAIPs

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.