12 Mei 2023, 17:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus melaporkan bahawa pinjaman tahap 2 di Malaysia bertambah baik pada suku pertama 2023, menyusut kepada 5.0% apabila lebih ramai peminjam berjaya beralih daripada program bantuan pembayaran balik.

Beliau turut menambah kualiti pinjaman isi rumah kekal kukuh disokong oleh keadaan pasaran buruh yang agak positif dan ketersediaan bantuan. Hal itu terutamanya melibatkan pinjaman untuk membeli rumah dan kereta, selaras dengan peningkatan pendapatan. Keadaan itu juga disokong oleh penilaian kemampuan pinjaman berhemat oleh bank yang membantu memastikan peminjam mempunyai penampan terhadap kenaikan kos. Kemerosotan kekal rendah dan dalam jangkaan dalam kalangan peminjam daripada semua kumpulan pendapatan.

Majoriti peminjam yang keluar daripada program bantuan bayaran balik terus mengekalkan tingkah laku pembayaran balik yang baik dengan tanda-tanda kesukaran yang terhad. Sehubungan itu, petunjuk risiko kredit utama seperti pinjaman Tahap 2 terus memberangsangkan, seterusnya menunjukkan bahawa rosot nilai tambahan mungkin akan kekal terkawal. Pinjaman tahap 2 merupakan bahagian pinjaman yang telah menunjukkan kemerosotan dalam risiko kredit dengan bank dikehendaki mengetepikan peruntukan berdasarkan kerugian yang dijangkakan seumur hidup di bawah Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) 9.

Nisbah pinjaman Tahap 2 diperkenalkan melalui pelaksanaan piawaian MFRS9 bermula 1 Jan 2018. Sementara itu, pertumbuhan permohonan pinjaman perniagaan yang lebih tinggi melalui suku pertama telah didorong oleh pinjaman pelaburan, terutamanya bagi membina dan membeli hartanah bukan kediaman.

Kapasiti pembayaran balik perusahaan kecil dan sederhana (PKS) secara agregat juga kekal mantap dan terus meningkat. Ekonomi Malaysia mencatatkan pengembangan yang lebih baik daripada jangkaan sebanyak 5.6% pada suku pertama 2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.