8 Mei 2023, 11:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Indonesia (BI) mengumumkan pelancaran komersial jalinan pembayaran kod respons pantas (QR) rentas sempadan antara Indonesia dengan Malaysia pada 8 Mei lalu susulan kejayaan fasa rintis jalanan yang diumumkan pada 27 Januari 2022.

Menurut kenyataan bersama BNM dan BI, pelancaran komersial jalinan itu menyaksikan penyertaan institusi kewangan peserta yang lebih banyak termasuk institusi kewangan bukan bank. Tambahnya, hal itu akan membolehkan lebih banyak rakyat Indonesia dan Malaysia membuat pembayaran runcit secara segera di kedua-dua negara dengan mengimbas kod QR Code Standar Pembayaran Nasional (QRIS) atau DuitNow QR di kedai mahu pun secara dalam talian menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh institusi kewangan peser

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata jalinan antara negara ASEAN kini semakin kukuh dan lebih banyak pengguna dari Malaysia dan Indonesia akan mendapat manfaat daripada pengalaman yang selamat, lebih lancar dan lebih cekap untuk membuat serta menerima pembayaran rentas sempadan. “Seterusnya, hal ini mewujudkan potensi besar untuk merangsang kegiatan ekonomi antara kedua-dua negara, termasuk perbelanjaan pelancongan serta akan membantu memperluas pasaran sesetengah perniagaan dan memudahkan penyelesaian dalam mata wang tempatan yang lebih banyak, lantas meningkatkan hasil kewangan,” katanya dalam kenyataan tersebut. Tambah beliau, jalinan pembayaran QR antara Malaysia dengan Indonesia menjadi pelengkap kepada jalinan pembayaran dua hala antara negara ASEAN yang akan menyumbang ke arah ASEAN yang lebih teguh dan membangunkan lagi rantau ini sebagai pusat pertumbuhan.

Sementara itu, Gabenor Bank Indonesia, Perry Warjiyo, berkata jalinan pembayaran QR rentas sempadan antara Indonesia dengan Malaysia adalah satu bukti nyata kerjasama Kesalinghubungan Pembayaran Serantau yang kukuh untuk menggalakkan pembayaran rentas sempadan yang lebih pantas, murah, telus serta inklusif khususnya memberikan manfaat kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana. Tambah beliau, jalinan ini selaras dengan inisiatif ‘Roadmap for Enhancing Cross Border Payments oleh G20’, dan pencapaian penting bagi Indonesia selaku pengerusi ASEAN pada tahun 2023 serta mewakili satu lagi peristiwa penting bagi Blueprint Sistem Pembayaran Indonesia 2025. “Jalinan pembayaran ini menyediakan lebih banyak pilihan kepada pengguna untuk membuat transaksi pembayaran rentas sempadan dan bertindak sebagai faktor penting untuk meningkatkan kecekapan serta menggalakkan ekonomi digital dan rangkuman kewangan di rantau ini,” katanya.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.