29 April 2023, 09:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Pihak yang terlibat dalam industri agromakanan seperti petani, pemborong dan pembekal input pertanian diseru agar mendaftar secara percuma di sistem GeoTanaman yang dibangunkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia (DOA) bagi mengelakkan lambakan hasil pertanian.

Ketua Pengarah Pertanian, Dato’ Zahimi Hassan berkata, para petani dapat merancang penjadualan tanaman makanan mengikut pemintaan dan penawaran melalui sistem ini seterusnya membantu mengurangkan di samping mengelakkan lambakan hasil pertanian masing-masing.

“Sistem GeoTanaman juga dapat membantu pengusaha mengurangkan lambakan hasil dengan meluaskan ruang pasaran berdasarkan padanan pasaran secara e-dagang melalui transaksi secara terus dengan pemborong,” jelas beliau dalam kenyataan yang dkeluarkan semalam.

Tambahnya, DOA juga dapat memberikan khidmat pengembangan pertanian kepada para petani yang mendaftar melalui sistem ini dengan mengenal pasti secara spesifik lokasi kebun dan menghantar notifikasi berkaitan perkhidmatan yang diperlukan melalui telefon mudah alih yang didaftarkan.

“Pendaftaran di Sistem GeoTanaman (https://geotanaman.doa.gov.my) ini adalah bagi memastikan ketersediaan input pertanian dan maklumat pengeluaran tanaman makanan dapat disediakan secara masa nyata yang seterusnya mampu mengatasi isu lambakan hasil tanaman”, jelas beliau.

Sistem ini telah dibangunkan sejak tahun 2022 dan petani dapat merancang penjadualan tanaman makanan mengikut permintaan serta penawaran. Para petani juga disarankan untuk melaksanakan Amalan Pertanian Baik dengan memohon pensijilan myGAP dan merancang penjadualan penanaman mengikut kehendak pasaran bagi memastikan hasil tanaman yang berkualiti dan memenuhi kehendak pasaran dapat dihasilkan.

Kenyataan ini dikeluarkan berikutan laporan media yang menyebut lebih 500 pekebun di Tanah Tinggi Lojing terpaksa membuang ribuan tan sayur yang tidak terjual selepas mendakwa terdapat lambakan bekalan sayur import dari luar negara walaupun pengeluaran sayur tempatan kini meningkat selepas berakhir musim tengkujuh.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.