29 April 2023, 18:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Festival Mangga Harum Manis Perlis disempurnakan oleh Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah di pekarangan Dewan 2020, Kangar, hari ini.

Sekitar Festival Mangga Harum Manis Perlis berlangsung.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengarah Pertanian Negeri Perlis, Encik Hafizuddin Othman dan Timbalan Pengarah Pengurusan dan Regulatori Jabatan Pertanian Negeri Perlis, Puan Bazilah Jalil.

Festival Mangga Harum Manis Perlis yang merupakan acara tahunan di bawah anjuran Jabatan Pertanian Negeri Perlis dengan kerjasama Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Perlis ini diadakan bersempena dengan Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Perlis dan dihadiri oleh ribuan rakyat Perlis.

Mangga harum manis ini bukan sahaja untuk dimakan, malah diproses menjadi Jus Harum Manis Al-Kamsah daripada syarikat Athanliz Innovation Sdn. Bhd. dan sebagai produk makanan dan minuman dengan jenama Mafera serta produk kosmetik berjenama Lindifera.

Susulan itu, dengan adanya pelbagai keistimewaan dan kualiti yang tersendiri, mangga harum manis Perlis berjaya mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia dan pasaran luar.

Pada kemuncak majlis berkenaan, DYMM Pemangku Raja Perlis berkenan meletakkan tanda simbolik pelancaran Festival Mangga Harum Manis Perlis dan melancarkan produk inovasi berasaskan mangga harum manis.

Pada masa yang sama, majlis pelancaran ini juga menandakan bermulanya jualan buah mangga harum manis Perlis di negeri ini hingga Jun 2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.