27 April 2023, 11:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) melaporkan bahawa Indeks Harga Pengeluar (IHP) bagi pengeluaran tempatan, yang mengukur harga barangan di pintu kilang, merosot lagi kepada – 2.9% pada Mac 2023 berbanding -0.8% yang direkodkan pada Februari 2023.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawatrend penurunan itu disebabkan oleh penyusutan dalam sektor pertanian, perhutanan dan perikanan serta perlombongan yang terus mencatatkan perubahan negatif selama tiga bulan berturut-turut pada tahun 2023. Indeks tandan buah segar terus mencatatkan – 43.5% pada Mac 2023 daripada – 40.5% yang disaksikan semasa bulan sebelumnya, yang menyumbang kepada penurunan dua digit – 28.7% dalam indeks pertanian, perhutanan dan perikanan berbanding Februari 2023 (-26.1%). Indeks perlombongan berkurangan kepada -11.5% (Februari 2023: -6.5%) dengan pengekstrakan indeks petroleum mentah merosot sebanyak – 21.2% menjelang Mac 2023.

Sementara itu, indeks pembuatan meningkat sebanyak 1.4% pada Mac 2023 (Februari 2023: 3.0%), disumbangkan oleh kenaikan dalam pembuatan produk komputer, elektronik dan optikal (8.9%) serta indeks pembuatan peralatan elektrik (5.3%). Manakala bagi sektor utiliti, indeks bekalan air, elektrik dan gas masing-masing menokok 3.3% dan 1.4%. IHP pengeluaran tempatan bertambah 0.3% pada Mac 2023 berbanding penurunan 0.2% pada bulan sebelumnya. Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan naik 4.8% seiring dengan pertumbuhan indeks tanaman saka yang melonjak 6.5%. Sektor bekalan elektrik dan gas turut mencatatkan kenaikan sebanyak 0.5% pada Mac. Sebaliknya, sektor perlombongan menyusut sejumlah 0.6%, terjejas oleh penurunan dalam pengekstrakan gas asli (-1.0%) serta pengekstrakan indeks petroleum mentah (-0.5%). Bagi indeks pembuatan, indeks itu mencatatkan kejatuhan sebanyak 0.1% disebabkan oleh penurunan dalam pembuatan produk petroleum kok dan bertapis (1.6%), pembuatan kimia serta produk kimia (-0.2%) dan pembuatan produk makanan (-0.1%). Sama seperti bulan sebelumnya, indeks bekalan air berkurangan sebanyak 0.3%.

Beliau mengulas bahawa indeks bahan mentah bagi pemprosesan selanjutnya susut lagi kepada -21.0% pada Mac 2023 (Februari 2023: -16.9%) disebabkan oleh penurunan -25.2% dalam bahan bukan makanan. Walau bagaimanapun, bahan perantaraan, bekalan dan komponen meningkat 1.5% pada Mac 2023 (Februari 2023: 3.3%) berikutan pertambahan bekalan (10.6%), bahan api diproses dan pelincir (6.0%) serta indeks bahan dan komponen bagi pembinaan (3.8%). Barangan siap meningkat sebanyak 3.9% (Februari 2023: 4.0%) dengan indeks peralatan modal dan barangan pengguna siap masing-masing menokok 5.0% dan 2.6%.

Daripada segi perbandingan bulanan, indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen kekal tidak berubah pada Mac 2023, manakala indeks bahan mentah bagi pemprosesan selanjutnya serta barangan siap masing-masing mencatatkan kenaikan 1.5% dan 0.2%. Menjelang suku pertama 2023, IHP pengeluaran tempatan mencatatkan kelemahan sebanyak 0.8% berbanding 3.5% pada suku keempat 2022.

Penurunan itu disebabkan oleh indeks pertanian, perhutanan dan perikanan (-25.4%) serta perlombongan (-6.8%). Sebaliknya, kenaikan dicatatkan bagi indeks pembuatan (2.9%), bekalan elektrik dan gas (1.2%) serta bekalan air (3.6%), manakala, perbandingan dari suku ke suku menunjukkan IHP pengeluaran tempatan merosot 0.8% (suku keempat 2022: -0.7%).

Mengulas mengenai inflasi di peringkat pengeluar negara-negara tertentu, beliau menambah bahawa  kebanyakan negara mencatatkan indeks yang sederhana pada bulan ini disebabkan oleh kelembapan harga komoditi dan makanan. Pasaran komoditi global menghadapi ketidaktentuan harga pada tahun-tahun akan datang yang bukan sahaja disebabkan oleh kebimbangan geopolitik yang berlarutan tetapi juga sebahagian besarnya tertumpu kepada China dan perubahan iklim. Economist Intelligent Unit (EIU) mengunjurkan harga minyak akan kekal tinggi pada tahun 2023.

Bagaimanapun, beliau menambah beberapa minggu kebelakangan ini telah mencetuskan penyusutan mendadak harga minyak disebabkan kejatuhan Silicon Valley Bank dan Signature Bank di Amerika Syarikat selain daripada isu kecairan yang dihadapi oleh Credit Suisse.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.