19 April 2023, 19:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia merekodkan lebihan dagangan pada Mac 2023 meningkat kepada RM26.69 bilion berbanding Mac 2022 yang menandakan lebihan dagangan yang ke-35 bulan berturut-turutsejak Mei 2020 dan nilai tertinggi yang direkodkan bagi bulan Mac. Perdagangan pada bulan ini bagaimanapun berkurang sebanyak 1.6% kepada RM232.72 bilion, manakala eksport berjumlah RM129.71 bilion, menyusut 1.4% dan import menurun 1.8% kepada RM103.01 bilion.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melaporkan bahawa perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing merekodkan pertumbuhan dua digit sebanyak 13.5%, 15.5%, 11.1% dan 36.4% berbanding Februari 2023. Perdagangan bagi suku pertama (S1) 2023 berkembang 3.2% kepada RM644.87 bilion berbanding S1 2022, manakala eksport meningkat 2.8% kepada RM354.63 bilion dan import naik 3.7% kepada RM290.24 bilion. MITI turut menambah perdagangan, eksport dan import mencatatkan nilai yang tertinggi bagi tempoh itu. Bagaimanapun, bagi  tempoh yang sama lebihan dagangan menurun 1% kepada RM64.39 bilion.

Eksport barangan perlombongan yang berjumlah 8% daripada jumlah perdagangan atau RM10.4 bilion, menurun 3.5% tahun ke tahun berikutan pengurangan eksport petroleum kondensat dan minyak petroleum lain, manakala eksport keluaran pertanian yang berjumlah 7.3% daripada jumlah perdagangan atau RM9.43 bilion, jatuh 10.8% berikutan penurunan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. Peningkatan eksport pula dicatatkan untuk gas asli cecair (LNG).

MITI melaporkan pada Mac 2023, perdagangan dengan Asean mewakili 27.9% atau RM64.84 bilion daripada jumlah perdagangan Malaysia, menyusut 1.4% tahun ke tahun. Bagaimanapun, peningkatan eksport telah direkodkan bagi keluaran petroleum, jentera, kelengkapan dan peralatan serta kelengkapan pengangkutan. Sebaliknya, import dari Asean berkembang sebanyak 1.6% kepada RM26.86 bilion. Eksport ke pasaran utama Asean yang mencatatkan peningkatan ialah Singapura, yang meningkat RM615.3 juta dan Indonesia, berkembang sebanyak RM738.9 juta disebabkan oleh eksport produk petroleum yang memberangsangkan. Pertambahan eksport walau bagaimanapun, telah direkodkan bagi bijih logam dan serpihan logam, kimia dan bahan kimia serta LNG. Import dari China menyusut 0.3% kepada RM21.16 bilion.

Perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) pada Mac 2023 yang merangkumi 9.5% daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 5.2% tahun ke tahun kepada RM22.05 bilion. Eksport berkembang 7.5% kepada RM14.59 bilion dan import dari AS naik 1% kepada RM7.46 bilion. Perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU) yang merangkumi 8.3% daripada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat 6.1% tahun ke tahun kepada RM19.41 bilion.

Sementara itu, perdagangan dengan rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang menyumbang 67.5% atau RM157.18 bilion kepada jumlah perdagangan Malaysia menurun secara marginal sebanyak 0.9% tahun ke tahun. Eksport ke rakan dagang FTA jatuh 1.5% kepada RM89.48 bilion dan import menguncupsebanyak 0.1 peratus kepada RM67.7 bilion. Bagi import, barangan pengantara, bernilai RM53.81 bilion atau 52.2% daripada jumlah import, menurun 8.7% pada Mac 2023; barangan modal, bernilai RM9.77 bilion (9.5%), meningkat 3.5%; dan barangan penggunaan, bernilai RM9.26 bilion (9%), naik 6.2%.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.