17 April 2023, 19:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – MIDF Research melaporkan bahawa Bursa Malaysia mencatatkan trend positif dengan kehadiran semula dana asing pada minggu lepas berikutan aliran masuk bersih asing meningkat kepada RM69.5 juta pada minggu dagangan berakhir 14 April berbanding RM18.8 juta pada minggu sebelumnya, sekali gus mencatat aliran masuk selama tiga minggu berturut-turut.

Walaupun pelabur asing mempamerkan kecenderungan negatif pada minggu yang mencatat jualan bersih selama tiga daripada lima hari dagangan, kesannya telah diimbangi oleh pembelian bersih pada Khamis dan Jumaat. Firma itu menambah tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk bersih asing pada minggu lepas ialah teknologi (RM32.3 juta), perkhidmatan kewangan (RM26.8 juta) dan perladangan (RM24.2 juta), manakala tiga sektor dengan aliran keluar bersih asing ialah utiliti (RM42.5 juta), penjagaan kesihatan (RM38.3 juta) dan REIT (RM8.5 juta). Setakat tahun ini, pelabur asing telah melepaskan pegangan ekuiti Malaysia untuk tempoh sembilan daripada 15 minggu iaitu bernilai RM1.83 bilion.

Sementara itu, pelabur institusi kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu berkenaan, namun, mencatat jualan bersih, masing-masing sebanyak RM48.7 juta dan RM22.3 juta pada Khamis dan Jumaat. Firma itu turut melaporkan bahawa pelabur institusi telah menjadi pembeli bersih selama 11 daripada 15 minggu dengan jumlah kumulatif RM1.82 bilion. Peruncit tempatan meneruskan trend jualan bersih bagi minggu ketiga berturut-turut, berjumlah sehingga RM73.1 juta.

Walaupun peruncit tempatan merupakan pembeli bersih dengan nilai RM6.8 juta pada Rabu dan RM5.6 juta pada Khamis, mereka merupakan penjual bersih pada sepanjang minggu itu. Pada tahun ini, peruncit tempatan merupakan penjual bersih untuk tempoh lapan daripada 15 minggu dengan jumlah kumulatif RM50.2 juta. Selain itu, nilai purata dagangan harian (ADTV) dalam kalangan peruncit tempatan meningkat (+11.1%), institusi tempatan (+15.5%) dan pelabur asing (+20.5%) daripada aspek penyertaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.