Oleh Abd Razak Osman
16 April 2023, 14:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Kedah memilih sebanyak sembilan lokasi yang bersesuaian bagi memberikan peluang kepada penduduk tempatan untuk membeli pelbagai barangan, termasuk barangan segar bagi keperluan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Program Jualan Syawal Madani 1444H Peringkat Negeri Kedah anjuran FAMA itu dilancarkan oleh Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari di Pasar Tani Jalan Petri, Sungai Petani, hari ini.

Dr. Mohammed Taufiq Johari menyampaikan hadiah berupa barangan dapur kepada seorang daripada pemenang cabutan bertuah.

“Apabila diadakan program sebegini, penduduk berbagai kaum dapat membeli barangan dapur yang segar dengan harga yang lebih murah berbanding dengan tempat lain,” ujar Pengarah FAMA Negeri Kedah, Isa Hamzah dalam ucapannya.

Program tersebut turut dianjurkan di lapan lokasi jualan lain yang terpilih, iaitu di Pasar Tani Guar Cempedak pada 16 hingga 21 April, Pasar Tani Kulim pada 17 April, Agrobazaar Rakyat Selama dan Pasar Tani Pendang pada 18 April, Pasar Tani Taman Wira Alor Setar dan Pasar Tani Baling pada 19 April serta Medan Food FAMA Alor Setar dan Pasar Segar Mr Jasem Langkawi pada 20 April 2023.

Isa Hamzah turut menambah, “Walaupun berbaki enam hari lagi untuk menyambut Syawal pada tahun ini, pengunjung dapat membeli barangan segar dan membuat persediaan lebih awal.”

Dr. Mohammed Taufiq Johari (kiri) bersama-sama Isa Hamzah (kanan) beramah mesra dengan peniaga di Pasar Tani Jalan Petri, Sungai Petani.

Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan seperti aktiviti gotong-royong memasak pulut kacau untuk edaran kepada para pengunjung dan cabutan bertuah berupa barangan dapur dan kuih raya kepada 100 orang pengunjung yang bertuah.

Di samping itu, pengunjung juga dapat melihat Pertandingan Gerai Raya, Kempen Lebihan Makan Sayur-sayuran Tempatan, Demonstrasi Penyediaan Kerepek Pisang Kawah dan Kuih Sepit oleh usahawan tempatan.

Turut hadir ialah Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Kedah, Zaiton Yahya, Ahli Parlimen Merbok, Mohd Nazri Abu Hassan dan Pegawai Daerah Kuala Muda, Ilias Shuib.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.