Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – RHB Investment Bank Bhd. berpendapat bahawa Malaysia semakin berkembang pesat sebagai hab pusat data di Asia dengan sokongan dasar properniagaan yang dapat menarik dan mengekalkan pelabur pusat data.
Antara faktor penting bagi industri pusat data adalah dengan adanya pekerja yang berkemahiran dan berpengetahuan di Malaysia dan hal ini memperlihatkan kelebihan daya saing yang ketara dalam memangkin pelaburan asing yang lebih besar.
Kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat komited untuk mempercepatkan penerimaan digital di negara ini dan hal ini merupakan petanda yang baik bagi industri pusat data domestik. Selain itu, hal ini juga menunjukkan pandangan yang positif yang disokong oleh dasar pelaburan baharu yang diumumkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada Oktober 2022, iaitu kerajaan sedang berusaha meningkatkan peluang pekerjaan bernilai tinggi.
Sementara itu, syarikat terkemuka bagi pusat data seperti GDS, Equinix dan Yondr Group telah mengeluarkan modal bagi membina kemudahan pertama mereka di Malaysia manakala perkhidmatan laman sesawang Amazon dan Microsoft pula komited untuk membina rangkaian teknologi awan di negara ini.
Idea pelaburan dalam ruang lingkup pusat data ini secara semula jadi turut melibatkan syarikat telekomunikasi talian tetap memandangkan pusat data adalah satu aset utama bagi perkhidmatan dan penyelesaian berkaitan perusahaan yang melengkapkan aset kabel dasar laut yang luas.