14 April 2023, 23:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya Pengeluar kereta nasional Proton Holdings Bhd melancarkan Kempen Proton Rahmah 2023 untuk menggalakkan pemilik menghantar kenderaan mereka ke pusat servis yang bertauliah bagi pemeriksaan keselamatan 40 mata percuma dan pakej servis berharga RM150.

Kempen yang bermula hari ini hingga 31 Mei itu dilancarkan bagi menyahut inisiatif kerajaan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup golongan berpendapatan rendah. Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan bahawa pemilikan kenderaan merupakan perkara yang penting untuk kehidupan seharian ramai rakyat Malaysia dan perbelanjaan yang berkaitan dengannya, seperti pembayaran balik pinjaman bank, minyak, tol dan penyelenggaraan merupakan komponen utama perbelanjaan isi rumah.

Beliau turut menambah menerusi pelancaran kempen itu, pemilik Proton terutama golongan B40 akan dapat memeriksa kenderaan mereka secara percuma dan membeli pakej servis mampu milik, yang akan meringankan beban kewangan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri. Beliau berbesar hati kerana Proton merupakan syarikat automotif pertama yang menyokong inisiatif kerajaan dan berharap jenama lain akan mengikuti langkah itu untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat yang memerlukan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah menyatakan bahawa keputusan Proton untuk melancarkan kempen itu selaras dengan usaha syarikat untuk menawarkan nilai tambahan kepada pelanggan dan penting untuk menyediakan produk dan perkhidmatan mampu milik kepada orang ramai. Kempen inklusif ini memastikan kos dikongsi secara sama rata antara Proton Edar dan pengedar sebagai sebahagian daripada aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR). Pihaknya berharap dengan kempen ini, pemilik digalakkan servis kereta mereka di pusat servis yang bertauliah sebelum memulakan perjalanan balik kampung semasa tempoh perayaan.

Kempen Proton Rahmah 2023 menyasarkan kepada pemilik Proton Persona, Proton Iriz, Proton Exora, Proton Saga, serta model terdahulu termasuk Proton Inspira, Proton Waja dan Proton Wira.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.