7 April 2023, 15:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat untuk mengadakan Lawatan Perdana ke World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) pada petang semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengurusan Tertinggi WTCKL yang diketuai oleh Dato’ Sri Dr. Haji Irmohizam Haji Ibrahim selaku Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL. Dalam lawatan itu, Dato’ Sri Dr. Haji Irmohizam telah mempersembahkan sedikit penerangan mengenai bangunan WTCKL  termasuk sejarah dan rancangan masa depan WTCKL dalam industri acara perniagaan. Beliau berharap dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perlis ke WTCKL ini dapat menyerikan lagi suasana di WTCKL. Beliau juga berharap untuk menyampaikan mesej kepada Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perlis tentang betapa pentingnya industri acara perniagaan yang merupakan satu daripada industri yang menyumbang kepada ekonomi negara.

WTCKL pernah menjadi tuan rumah dan hos dalam beberapa acara perniagaan yang utama seperti Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF) 2023 yang telah mencecah rekod sebanyak 671 pempamer dari 11 buah negara dan merupakan pameran perabot yang terbesar di Asia Tenggara. Selain itu, Ekspo Penyelesaian Runcit Malaysia (RESONEX) yang mempamerkan teknologi dan produk penyelesaian runcit yang mendapat penyertaan wakil dari negara luar.

WTCKL sangat komited untuk menerajui acara perniagaan di Malaysia yang dijangka akan menarik 5.9 juta delegasi dan menyumbang kepada impak ekonomi dengan anggaran sebanyak RM42.12 bilion serta mewujudkan kira-kira 25 833 peluang pekerjaan pada tahun 2023.

Beliau bersama-sama seluruh warga WTCKL menjunjung kasih atas kesudian keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perlis ke WTCKL buat julung kalinya. Tuanku Pemangku Raja turut meluangkan masa melawat galeri lukisan dan menerima taklimat yang disampaikan oleh Azmi Sulong.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.