3 April 2023, 12:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –  Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Aziz berkata peningkatan minat syarikat China melabur di Malaysia memberi petanda baik kepada negara dan telah meningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan China serta telah disokong oleh keyakinan terhadap kerajaan Perpaduan negara.

Beliau berkata menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri  (MITI) akan terus membantu memudahkan urusan para pelabur untuk menjalankan perniagaan di negara ini bagi menunjukkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sentiasa menyokong industri, perdagangan. Beliau juga menzahirkan ucapan tahniah kepada MIDA dan semua agensi berkaitan dalam membantu mendapatkan pelaburan berpotensi yang bernilai RM 170 bilion. “MITI, MIDA dan agensi lain kini perlu mula bekerja keras untuk membuat susulan dan seterusnya merealisasikan pelaburan ini dalam tempoh masa yang singkat,” katanya.

Menerusi misi perdagangan dan pelaburan di China baru-baru ini, ketua pegawai eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman berkata lebih 20 syarikat telah menunjukkan minat yang serius untuk melabur dalam ekonomi Malaysia yang sedang berkembang pesat melibatkan bidang seperti produk petrokimia, produk solar dan kaca, pusat data antarabangsa dan bahagian-bahagian dan komponen kenderaan elektrik.

Syarikat Zhejiang Zhink Group, LONGi, GDS, Shanghai DC Science dan ZTE Corporation  merupakan antara syarikat yang menyatakan minat yang mendalam untuk melabur di Malaysia dan kesemua syarikat ini mengakui potensi yang besar di Malaysia. Datuk Arham Abdul Rahman menyatakan pencapaian ini menunjukkan komitmen kerajaan Malaysia untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi daripada pengguna teknologi digital utama dunia yang akan menempatkan satu pertiga daripada syarikat unicorn dunia.

Pada tahun 2022, Malaysia mencatatkan sebanyak RM 264.4 bilion pelaburan diluluskan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan primer dan daripada jumlah tersebut RM 55.4 bilion telah di sumbang oleh China yang melibatkan sejumlah 91 projek. MIDA berkata usaha niaga ini berpotensi mewujudkan 11 545 peluang pekerjaan baharu bagi tenaga kerja Malaysia yang sekali gus dapat mengukuhkan lagi struktur ekonomi negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.