31 Mac 2023, 09:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan bahawa keadaan pasaran kewangan domestik kekal teratur pada Separuh Kedua 2022 (2H 2022) dalam keadaan volatiliti pasaran kewangan global yang ketara. BNM menambah bahawa keadaan kewangan global mengetat pada separuh kedua tahun 2022 apabila bank pusat utama meningkatkan kadar dasar secara agresif untuk menangani tahap inflasi yang tinggi. Tekanan sistem perbankan di beberapa ekonomi maju telah meningkatkan volatiliti dalam pasaran bon dan pasaran ekuiti di seluruh dunia. Perkembangan global itu turut menjejaskan pasaran kewangan Malaysia dan menyebabkan pasaran pertukaran wang asing, bon dan wang mengalami volatiliti yang lebih tinggi.

BNM menyatakan bahawa Indeks Tekanan Pasaran Kewangan (FMSI) pada Separuh Kedua 2022 telah meningkat ke tahap yang dicatatkan pada pertengahan tahun 2020 tetapi masih kekal di bawah tahap tertinggi yang dicatatkan pada permulaan pandemik COVID-19 pada Mac 2020. Meskipun volatiliti terus ketara dalam pasaran kewangan domestik, keadaan pasaran kekal teratur dan pengantaraan aliran dua hala dalam pasaran bon dan pasaran ekuiti berjalan dengan lancar. Keadaan itu telah menyokong pengumpulan dana oleh perniagaan melalui pasaran modal.

BNM turut melaporkan bahawa mudah tunai dalam pasaran bon kerajaan pula kekal kukuh. Keadaan mudah tunai dalam sistem perbankan sebahagian besarnya tidak terjejas oleh penarikan balik fleksibiliti pengawalseliaan yang diberikan semasa pandemik dan tekanan perbankan di Amerika Syarikat dan Eropah baru-baru ini. Sementara itu, pasaran ekuiti menyaksikan pelonggaran keadaan kewangan global menjelang akhir tahun 2022, kegiatan ekonomi dalam negeri yang lebih kukuh dan sentimen pelabur yang positif berikutan peralihan politik yang teratur susulan Pilihan Raya Umum Ke-15 telah memberikan sokongan kepada pasaran ekuiti domestik pada suku keempat tahun 2022.

Selain itu, pasaran bon korporat terus berfungsi secara teratur dalam menyokong aktiviti pengumpulan dana korporat pada Separuh Kedua 2022. Terbitan bon korporat kasar meningkat dengan mendadak (Ogos 2022-Januari 2023: RM94.7 bilion; Ogos 2019-Januari 2020: RM48.8 bilion), sebahagian besarnya didorong oleh satu terbitan besar oleh pengendali tol lebuh raya utama pada bulan Disember (RM25.2 bilion). Dalam pasaran pertukaran asing, pergerakan ringgit terus dipengaruhi oleh faktor luaran berikutan pertumbuhan global dan prospek inflasi yang berubah-ubah.

Ringgit mencatatkan paras terendahnya apabila ditutup pada 4.7480 pada awal November 2022 ketika dolar Amerika meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh 20 tahun susulan tindakan monetari yang diperketat secara agresif oleh Bank Pusat Amerika Syarikat (AS), Rizab Persekutuan (Fed). Nilai ringgit seterusnya menjadi kukuh menjelang akhir tahun 2022 terutamanya susulan muncul tanda-tanda bahawa Fed mungkin memperlahankan keagresifan dasar monetari AS.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.