Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menjelaskan jumlah import bagi negeri Sarawak mencatatkan peningkatan sebanyak 45.5%, iaitu sebanyak RM34.29 bilion pada tahun 2022.
MITI menjelaskan dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen bahawa peningkatan jumlah import tersebut disumbangkan oleh kenaikan import kimia dan bahan kimia, keluaran petroleum serta bijih logam dan serpihan logam.

Kementerian itu juga menjelaskan bahawa senarai barangan import utama Sarawak pada tahun 2022 menunjukkan trend yang sama, iaitu kimia dan bahan kimia yang mencatatkan RM9.33 bilion yang mewakili 27.2% syer daripada jumlah import Sarawak. Manakala bijih logam dan serpihan logam pula bernilai RM5.07 bilion dengan 14.8% syer. Seterusnya, jentera, kelengkapan dan peralatan pula mencatatkan jumlah sebanyak RM4.39 bilion bersamaan dengan 12.8% syer.
Kementerian itu menjawab soalan ahli Parlimen Mas Gading, iaitu Mordi Bimol yang ingin mengetahui jumlah nilai ringgit dan senarai barang-barang import utama Sarawak bagi tahun 2021 dan 2022.
Selain itu, nilai import Sarawak pada tahun 2021 berjumlah RM23.57 bilion dilihat meningkat sebanyak 24.2% daripada tahun sebelumnya disebabkan oleh peningkatan import kimia dan bahan kimia, bijih logam dan serpihan logam serta keluaran petroleum.
Antara barangan import utama bagi Sarawak pada tahun 2021 termasuklah kimia dan bahan kimia yang bernilai RM5.26 bilion yang mewakili 2.3% syer daripada jumlah import Sarawak.Manakala bijih logam dan serpihan logam pula bernilai RM3.65 bilion dengan 15.5% syer selain jentera, kelengkapan dan peralatan yang mencatatkan nilai sebanyak RM2.98 bilion, iaitu 12.6% syer.
Sumber gambar: Facebook Rasmi MITI