29 Mac 2023, 15:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Indeks nilai seunit import Malaysia menunjukkan trend positif bulan ke bulan dengan pertumbuhan 0.6% kepada 128.7 mata pada Februari 2023 daripada 128.0 mata kepada Januari 2023.

Jabatan Perangkaan Malaysia dalam laporan Indeks Perdagangan Luar Negeri (2010=100) Februari 2023 melaporkan bahawa peningkatan dalam indeks nilai seunit import disumbangkan oleh kenaikan indeks alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (1.4%), minyak galian (1.1%) dan pelbagai barang keluaran kilang (0.3%). Walau bagaimanapun, indeks volum import merosot 2.5% berbanding bulan sebelumnya disebabkan oleh penurunan indeks pelbagai barang keluaran kilang (16.2%), barang keluaran kilang (11.4%) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (9.7%).

Indeks volum import pelarasan bermusim mengembang 10.9% daripada 165.6 mata kepada 183.6 mata. Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit import bertambah 4.6% manakala indeks volum melonjak 7.7%. Sementara itu, harga eksport Malaysia pada Februari 2023 menyusut 1.0% daripada 142.7 mata pada bulan sebelumnya kepada 141.2 mata. Menurut Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, penurunan nilai seunit eksport adalah disebabkan oleh penurunan dalam indeks minyak galian (3.6%), minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (2.7%) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (0.4%).

Selain itu, indeks volum eksport meningkat 0.7% pada bulan yang sama, selaras dengan kenaikan indeks barang-barang keluaran kilang (16.4%), makanan (14.8%) dan bahan kimia (6.9%). Indeks volum eksport pelarasan bermusim melonjak 11.7% daripada 149.8 mata kepada 167.4. Merujuk kepada perbandingan tahunan, indeks nilai seunit eksport naik 4.4% manakala indeks volum meningkat 5.2%.

Jabatan Perangkaan turut melaporkan terma perdagangan Malaysia menguncup 1.6% bulan ke bulan kepada 109.7 mata pada Februari 2023, didorong oleh kejatuhan indeks minyak galian (4.6%), minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (4.0%) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (1.8%). Bagi perbandingan tahun ke tahun, terma perdagangan Malaysia menyusut 0.2% daripada 109.9 mata pada Februari 2022.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.