29 Mac 2023, 15:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia boleh terus kekal sebagai peneraju produk dan perkhidmatan halal yang memenuhi standard kualiti tertinggi kerana negara mempunyai ekosistem dan strategi yang betul untuk meraih lebih banyak perniagaan halal global.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz berasa yakin bahawa Malaysia boleh mengukuhkan kedudukan di persada ekonomi global melalui  Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030), visi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk membangunkan platform industri dan perniagaan-kepada-perniagaan (B2B) seperti Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS). Tambah beliau, Malaysia terkenal sebagai pembekal utama pelbagai produk dan perkhidmatan diperakui halal, seperti makanan, kosmetik, farmaseutikal, kewangan dan pelancongan. Pihak kerajaan telah melancarkan HIMP 2030 yang menggariskan pelan tindakan jelas bagi memanfaatkan secara strategik peningkatan permintaan global terhadap produk dan perkhidmatan halal, serta mengukuhkan penerajuan Malaysia dengan memanfaatkan ekosistem industri halal yang diperakui dunia untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi halal Malaysia.

Beliau menyatakan bahawa Malaysia sekali lagi disenaraikan sebagai ekonomi halal utama dunia bagi sembilan tahun berturut-turut dan HIMP 2030 akan membantu mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju utama dunia dalam industri halal. MITI mengunjurkan industri halal berkembang kepada USD113.2 bilion menjelang tahun 2030 dengan sumbangan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 8.1% pada tahun 2025 menerusi HIMP 2030.

Sementara itu, beliau menambah bahawa MIHAS sebagai platform B2B yang semakin berkembang kukuh juga diangkat sebagai satu daripada pemacu utama yang membangunkan momentum halal dengan meneroka bidang baharu dan peluang yang belum dimanfaatkan dalam industri. Edisi MIHAS 2023 ke-19 yang dihoskan oleh MITI dan dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan diadakan selama empat hari bermula 12 September hingga 15 September 2023 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Pameran itu yang bertemakan Paving the Way of Halal akan menampilkan trend, teknologi dan inovasi halal terkini merangkumi 12 kluster terdiri daripada makanan dan minuman; fesyen dan gaya hidup sederhana; kosmetik dan penjagaan peribadi; teknologi dan pembungkusan makanan, selain kewangan dan teknologi kewangan (fintech) Islam, media dan rekreasi, runcit dan francais, hospitaliti dan pelancongan mesra Muslim, farmaseutikal dan perubatan, perkhidmatan dan pendaya, pendidikan, e-dagang, dan seni dan budaya Islam.

MIHAS 2023 dijangka menjadi edisi terbesar pasca pandemik kerana ia diunjur menarik lebih 35 000 pengunjung tempatan dan antarabangsa serta 1500 reruai dan menyasarkan 40 pavilion negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.