28 Mac 2023, 16:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa Indeks Harga Pengeluar (IHP) bagi pengeluaran tempatan menyusut 0.8% dari tahun ke tahun pada Februari 2023 berbanding peningkatan 1.3% yang disaksikan semasa Januari 2023.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa penguncupan itu disebabkan oleh kesan asas dan harga komoditi utama yang lebih rendah. Trend penurunan itu dipengaruhi oleh kemerosotan dalam sektor pertanian, perhutanan, perikanan serta perlombongan. Indeks pertanian, perhutanan dan perikanan menurun 26.1% (Januari 2023: -20.9%) dengan harga tandan buah segar merekodkan kejatuhan 40.5% pada Februari 2023. Pada masa yang sama, indeks perlombongan susut 6.5% (Januari 2023: -2.2%) disebabkan oleh kelemahan sebanyak 16.1% dalam pengekstrakan indeks petroleum mentah.

Sementara itu, indeks pembuatan meningkat 3% menjelang Februari 2023 berbanding pertumbuhan 4.5% pada bulan sebelumnya yang disumbangkan oleh kenaikan dalam indeks pembuatan produk komputer, elektronik dan optikal (8.5%). Sektor utiliti, indeks bekalan air menokok 3.7%, indeks bekalan elektrik dan gas naik sebanyak 1%. Secara bulanan, IHP bagi pengeluaran tempatan susut 0.2% pada Februari 2023 berbanding penguncupan 0.8% pada bulan sebelumnya.

Mengulas mengenai IHP mengikut peringkat pemprosesan, indeks bahan mentah untuk pemprosesan selanjutnya terus merendah sebanyak 16.9% pada Februari 2023 (Januari 2023: -12.4%) disebabkan oleh penurunan bahan bukan makanan sebanyak 20.3%. Selain itu, harga minyak sawit antarabangsa terus merundum berikutan permintaan import global yang agak lembap walaupun pengeluaran bermusim lebih rendah daripada kawasan pertumbuhan utama di Asia Tenggara. Oleh itu, sebagai salah satu pengeksport utama, harga minyak sawit Malaysia terus menjunam disebabkan oleh permintaan yang rendah dan harga minyak gas yang lebih rendah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.