22 Mac 2023, 08:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melancarkan Pelan Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil 2023-2027 (P3PK 2023-2027) yang menggariskan strategi dan inisiatif pemerkasaan komuniti itu di Malaysia.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menyatakan bahawa pelan yang berpaksikan Dasar Keusahawan Nasional 2030 itu merupakan kesinambungan kepada Inisiatif Strategik Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil 2015-2020 sudah tamat tempoh pelaksanaannya. “Pelan ini mampu menyokong pertumbuhan serta pembangunan kumpulan penjaja dan peniaga kecil di negara ini dalam tempoh lima tahun akan datang. “Pembangunan pelan memfokuskan kepada perencanaan strategi dan inisiatif yang lebih komprehensif serta mampan dengan mengambil kira impak pandemik COVID-19 terhadap komuniti penjaja dan peniaga kecil yang terjejas teruk dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.”

Tema P3PK 2023-2027 ialah ‘Memacu Kelestarian Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil melalui Persekitaran Kondusif dan Holistik’ dan dirangka berpaksikan lima teras utama dan diperkukuh dengan 17 strategi serta 29 inisiatif yang diyakini mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan ekosistem perniagaan komuniti itu di seluruh negara. “Berdasarkan perancangan, pelaksanaan strategi dan inisiatif untuk tempoh lima tahun akan datang telah dicerakinkan mengikut tiga fasa garis masa iaitu langkah pantas selama setahun, sederhana (satu hingga tiga tahun) dan panjang yang mengambil masa tiga hingga lima tahun. “KUSKOP percaya dengan penetapan garis masa ini, pelan ini akan memberi impak positif dan kolektif kepada setiap pihak berkepentingan dalam tempoh yang munasabah.”

Beliau turut menambah penetapan garis masa itu juga dilihat akan membolehkan transformasi dan perubahan terhadap landskap pengoperasian penjaja dan peniaga kecil yang lebih sistematik serta mampu memberi impak positif kepada kumpulan sasaran. “Impak positif ini merangkumi perkara seperti psikologi kendiri penjaja dan peniaga kecil, ekosistem perniagaan yang lebih kondusif, peningkatan sokongan kewangan dan latihan pembangunan perniagaan, pembangunan modal insan serta peningkatan adaptasi budaya pendigitalan.” Pelan itu dijangka mampu memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 86 000 penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.