16 Mac 2023, 09:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan bahawa Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia menyederhana kepada 1.8% pada Januari 2023 berbanding 2.9% pada bulan sebelumnya yang dipengaruhi oleh pertumbuhan output yang lebih perlahan dalam sektor pembuatan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa output sektor pembuatan mengembang 1.3% tahun ke tahun berbanding 3.0% pada Disember 2022 manakala output elektrik menyusut pada kadar yang lebih pantas iaitu 4.3% berbanding 2.2% sebelumnya. Sementara itu, pengeluaran perlombongan berkembang sebanyak 5.9% berbanding 3.9% pada Disember 2022.

Pertumbuhan tahun ke tahun bagi IPP bulan Januari 2023 juga merupakan yang terendah dicatatkan sejak Ogos 2021. Secara perbandingan bulan ke bulan, IPP terus merosot sebanyak 2.3%, selepas mencatatkan penurunan marginal sebanyak 0.6% pada bulan sebelumnya. Menurut Jabatan Perangkaan, kedua-dua industri berorientasikan eksport dan berorientasikan domestik menyumbang kepada penyederhanaan dalam pertumbuhan sektor pembuatan.

Pertumbuhan output industri berorientasikan eksport perlahan kepada 0.6% daripada 2.7% pada bulan sebelumnya, manakala pengeluaran industri berorientasikan domestik meningkat 2.7% berbanding 3.8% pada Disember 2022. Pengeluaran pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal merupakan penyumbang terbesar kepada sektor pembuatan, merekodkan pertumbuhan output yang perlahan kepada 0.8% berbanding 7.6% pada Disember 2022, selari dengan momentum perlahan dalam sektor perdagangan luaran dan trend penurunan dalam industri semikonduktor global.

Pada masa yang sama, pengembangan kukuh dilihat pembuatan kok dan produk petroleum bertapis dengan pertumbuhan output sebanyak 11.0% dan dalam pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran serta haiwan dengan 8.3%. Beliau menjelaskan pengeluaran industri berorientasikan domestik yang menyumbang sebanyak satu pertiga daripada output kerana didorong oleh pembuatan kenderaan bermotor, treler dan separuh treler yang berkembang sebanyak 12.2%.

Pertumbuhan output menunjukkan trend positif dalam hampir kesemua produk industri berorientasikan domestik kecuali bagi pembuatan minuman; dan pembuatan logam asas yang mencatatkan penguncupan pada bulan tersebut. Mengulas mengenai prestasi sektor perlombongan, pengembangan 5.9% dalam pengeluaran sektor itu dipacu oleh pertumbuhan kukuh 8.0% dalam indeks minyak mentah dan kondensat serta 4.5% dalam indeks gas asli. Indeks perlombongan meningkat 1.7% pada Januari 2023 berbanding dengan pertumbuhan 1.1% yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.