Diterbitkan pada 13 Mac 2023, 13:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia menunjukkan peningkatan sederhana iaitu, 6.5% kepada RM148 bilion pada Januari 2023 berbanding dengan bulan sebelumnya, iaitu 8.8%.

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa momentum pertumbuhan positif yang berterusan telah diperkukuh oleh pertumbuhan dua angka dalam subsektor perkilangan lain dan peralatan pengangkutan, iaitu sebanyak 14% serta subsektor petroleum, kimia, getah dan plastik pula mencatatkan sebanyak 10.1%.

Beliau juga menyatakan bahawa nilai jualan yang didaftarkan pada Januari paling rendah dicatatkan sejak Mei 2022.

“Daripada keseluruhan jumlah jualan, 71.3% disumbangkan oleh nilai jualan industri berteraskan eksport namun telah mencatatkan pertumbuhan perlahan sebanyak 6.9% pada Januari berbanding dengan 9.2% pada Disember 2022.”

Walau bagaimanapun, prestasi tersebut seiring dengan penurunan eksport produk perkilangan pada bulan itu. Menurut beliau, trend yang sama telah dicatatkan dalam nilai jualan industri yang berteraskan domestik secara sederhana, iaitu sebanyak 5.6% daripada pertumbuhan 7.7% pada bulan sebelumnya.

Tambahnya lagi, pada bulan sebelumnya nilai jualan untuk industri berorientasikan eksport terus merosot selama empat bulan berturut-turut dan mencatatkan -6.9% pada Januari dan industri berorientasikan dalam negeri juga turut berkurangan sebanyak 1.6%.

Terdapat 2.34 juta orang pekerja yang terlibat dalam sektor pembuatan pada Januari dan mengalami peningkatan sebanyak 3.0% berbanding dengan 2.227 juta yang didaftarkan pada tahun lalu, iaitu sebanyak 3.4% pada Disember 2022.

Kenaikan tersebut adalah disebabkan oleh pertambahan jumlah pekerja dalam subsektor makanan, minuman dan produk tembakau, iaitu sebanyak 4.7%, produk elektrik dan elektronik sebanyak 4.3% dan subsektor petroleum, kimia, getah dan plastik sebanyak 2.1%.

Gaji dan upah dibayar dalam sektor pembuatan meningkat 4% susulan aliran positif dalam pekerjaan, iaitu sebanyak RM8.18 bilion pada Januari 2023 dengan purata gaji bulanan dan gaji setiap pekerja sebanyak RM3494 serta menunjukkan peningkatan sebanyak 1.0% dari tahun ke tahun.

Ketua Perangkawan Malaysia itu juga menyatakan bahawa nilai bagi setiap jualan pekerja melonjak sebanyak 3.4% berbanding dengan bulan yang sama pada tahun sebelumnya, iaitu sebanyak RM63 200.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi