7 Mac 2023, 10:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Chuping – Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan Majlis Kemuncak Sambutan Jubli Emas Ulang Tahun ke-50 Cement Industries of Malaysia (CIMA) Berhad yang diadakan di Bukit Keteri, Chuping. Turut berangkat sama ialah DYTM Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda kedua baginda berdua, Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengerusi CIMA, Datuk Zaiviji Ismail, Pengarah Urusan UEM Group Bhd. yang juga Ahli Lembaga Pengarah CIMA, Dato’ Mohd Izani Ghani dan Pengarah Urusannya, Sharuddin Omar Hashim.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan ucapan tahniah kepada barisan kepimpinan dan seluruh warga kakitangan CIMA atas kejayaan beroperasi selama 50 tahun yang merupakan asas untuk syarikat ini terus melangkah lebih jauh dan memacu landskap infrastruktur negara ini. Sebagai sebuah syarikat yang pada mulanya bertapak di Perlis, baginda amat berbangga dengan pencapaian demi pencapaian yang dilakar oleh CIMA dalam tempoh lima dekad. Kini CIMA menjadi antara syarikat pengeluar simen dan konkrit yang terbesar dalam negara.

DYTM Tuanku Raja Muda juga amat bersyukur dengan komitmen berterusan yang dizahirkan CIMA untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Perlis, menjaga kelestarian alam sekitar dengan baik dan menitikberatkan kebajikan golongan yang memerlukan di negeri ini. Baginda menzahirkan harapan agar CIMA kekal mencatatkan lebih banyak kejayaan pada masa hadapan dan limpahan daripada kejayaan itu nanti akan terus dapat turut sama dirasai oleh negeri dan rakyat Perlis.

Sempena majlis tersebut, turut diadakan taklimat di sepanjang Milestone Wall, tayangan video korporat CIMA,  majlis menandatangani plak penyempurnaan kemuncak Sambutan Jubli Emas CIMA dan juga tayangan video Jubli Emas CIMA 50 tahun. Selain itu, majlis itu juga meraikan 40 kakitangan yang sudah berkhidmat lebih dari 30 tahun di syarikat tersebut untuk pengurniaan anugerah lama berkhidmat.

Pihak CIMA turut mengadakan kerjasama strategik bersama dengan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis untuk menjayakan beberapa inisiatif khidmat tanggungjawab sosial koporat (CSR) bersempena dengan sambutan tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.