7 Mac 2023, 08:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Tanggal 1 Mac 2023 merupakan tarikh genap 27 tahun buat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) sejak diperbadankan pada tahun 1996. Sambutan Hari HASiL pada tahun 2023 ini disambut meriah dengan kehadiran Perdana Menteri yang juga merangkap Menteri Kewangan, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim bertempat di Dewan Bangsawan, Menara Hasil Cyberjaya.

Perasmian majlis gilang-gemilang ini telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim dan disiarkan secara langsung menerusi platform YouTube untuk disaksikan oleh Team HASiL di seluruh Malaysia. Majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Kewangan I, YB Datuk Seri Haji Ahmad Haji Maslan, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican, dan Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom Sairi.

HASiL telah berjaya mencipta sejarah kutipan cukai langsung tertinggi negara pada angka RM175.4 bilion atau peningkatan 21.75% berbanding dengan kutipan pada tahun 2021. Pada tahun 2023, HASiL menjangkakan sebanyak RM174.1 bilion dapat dikutip berdasarkan pada prestasi persekitaran ekonomi semasa.

YBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom Sairi dalam ucapan alu-aluannya memberikan jaminan bahawa HASiL akan terus komited, telus dan adil dalam melaksanakan fungsinya sebagai sebuah jentera kerajaan yang memikul amanah memungut cukai langsung negara. Tambahnya lagi, HASiL akan memberikan keutamaan yang tinggi terhadap sebarang isu, aduan dan cadangan penambaikan yang diberikan oleh rakyat bagi membolehkan HASiL memberikan perkhidmatan percukaian yang terbaik selaras dengan rukun ikrar HASiL yang keempat, iaitu “memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan” dan seterusnya meningkatkan kadar pematuhan cukai dalam kalangan pembayar cukai di Malaysia.

Pada Majlis Sambutan Hari HASiL ke-27 ini, sebanyak empat transformasi sistem baharu bagi capaian umum dan tiga inisiatif baharu bagi capaian dalaman HASiL telah dilancarkan bagi menambah baik tadbir urus dalam memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan. Empat transformasi sistem baharu tersebut termasuklah:

  1. Sistem e-TCC merupakan platform yang disediakan oleh HASiL kepada pembayar cukai untuk mendapatkan Tax Compliance Certificate (TCC) atau Sijil Pematuhan Cukai sebagai dokumen rasmi prasyarat kepada syarikat yang ingin menyertai perolehan kerajaan. Platform ini membenarkan sijil dicetak melalui skrin MyTax sekiranya syarikat merupakan pembayar cukai (pembida perolehan kerajaan) yang mempunyai status pematuhan yang baik dalam pengemukaan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) dan bayaran cukai pendapatan.
  2. Sistem e-PC merupakan kaedah baharu orang awam untuk membuat aduan berkenaan dengan pelarian cukai yang dilakukan oleh mana-mana pembayar cukai individu atau perniagaan. E-PC dibangunkan bagi menggantikan kaedah e-mel dalam membuat aduan bagi memastikan pengurusan aduan yang lebih berstruktur dan sistematik.
  3. TikTok HASiL dilancarkan secara rasminya pada 24 Februari 2023 dengan penampilan khas YBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom Sairi seiring dengan perkembangan dunia digital yang pesat. Terkini, segala maklumat percukaian dan hebahan semasa berkaitan dengan HASiL turut boleh didapati melalui aplikasi TikTok sebagai usaha memperkasakan elemen AES (Awareness, Education and Services) dalam percukaian melalui saluran media sosial di pautan tiktok.com/@lhdnmofficial.
  4. Malaysian Income Tax Reporting System (MITRS 2.0) dinaik taraf bagi memudahkan pengemukaan helaian kerja percukaian, penyata kewangan dan dokumen sokongan audit secara dalam talian. Kini, pembayar cukai boleh mengemukakan helaian kerja percukaian sehingga tahun taksiran terkini dan memuat naik penyata kewangan serta dokumen sokongan audit bersaiz sehingga 15mb. Sebagai makluman, kategori pengguna di bawah MITRS 2.0 ini juga telah diluaskan meliputi pembayar cukai kategori syarikat dan selain syarikat.

Manakala tiga inisiatif baharu bagi capaian dalaman HASiL termasuklah:

  1. Research Clip (RC) diperkenalkan dengan tujuan memaparkan ringkasan kertas kajian yang disediakan oleh Jabatan Penyelidikan Strategik (JPS) melalui pendekatan secara visual. RC ini turut menampilkan kajian yang mengetengahkan penanda arasnya yang melibatkan elemen perbandingan pentadbir cukai negara luar berhubung dengan isu yang dibincangkan dalam kertas kajian berkenaan yang kemudiannya akan diadaptasi mengikut kesesuaian pelaksanaan di Malaysia.
  2. Manual Pengurusan Risiko (MPR) 2.0 merupakan manual penambahbaikan kepada edisi pertama yang diterbitkan pada tahun 2012 dengan maklumat terkini berdasarkan ISO 31000:2018 Risk Management – Principles and Guidelines serta mengambil kira pelaksanaan perubahan struktur organisasi HASiL yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2023. MPR ini disediakan sebagai rujukan kepada Risk Care Officer (RCO)/Deputy Risk Care Officer (DRCO) dan pegawai dalam menguruskan risiko di jabatan/negeri di samping membantu mereka mengenal pasti risiko yang boleh menjejaskan pencapaian objektif HASiL serta memastikan tindakan kawalan risiko yang efektif dapat diambil untuk mengurangkan kebarangkalian dan impak yang boleh menjejaskan reputasi atau imej organisasi.
  3. IRBM Taxpayer Roadmap versi baharu telah ditambah baik dengan paparan interaktif bagi tujuan panduan umum kepada orang awam berkenaan dengan pentadbiran cukai pendapatan di Malaysia bermula daripada proses penyediaan borang, aktiviti pematuhan, kutipan cukai, pendakwaan dan seterusnya proses rayuan. HASiL berharap agar Taxpayer Roadmap ini dapat membantu orang awam memahami pentadbiran percukaian seterusnya meningkatkan tahap kesedaran cukai dalam kalangan pembayar cukai di Malaysia.

Sebanyak 10 pembayar cukai dari kategori syarikat korporat yang mempamerkan prestasi pematuhan yang tinggi dalam tahun 2022 telah dipilih sebagai penerima Anugerah Pembayar Cukai Terbaik. Pemilihan penerima anugerah ini telah dibuat berdasarkan kriteria yang ditetapkan, iaitu:

  1. Amaun cukai yang dibayar signifikan;
  2. Tiada tunggakan cukai sehingga tahun 2022;
  3. Mematuhi bayaran ansuran CP204 tahun semasa;
  4. Pembayar cukai bukan sedang diaudit atau dalam tindakan siasatan cukai;
  5. Pembayar cukai bukan dalam tindakan guaman sivil atau pendakwaan oleh HASiL.

Senarai penerima Anugerah Pembayar Cukai Terbaik bagi tahun 2022 adalah seperti yang berikut:

  1. TNB Power Generation Sdn. Bhd.
  2. Xinyi Energy Smart (Malaysia) Sdn. Bhd.
  3. Hong Leong Islamic Bank Berhad
  4. 99 Speed Mart Sdn. Bhd.
  5. Mount Hatton Investments Limited
  6. HSBC Amanah Malaysia Berhad
  7. Bakun Hydro Power Generation Sdn. Bhd.
  8. Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd.
  9. Telekom Malaysia Bhd.
  10. Coway (Malaysia) Sdn. Bhd.

HASiL turut mengiktiraf sebanyak lima orang daripada Team HASiL sebagai penerima Anugerah ‘Most Outstanding Hasilian’ (MOH) bagi tahun 2022 atas kecemerlangan, profesionalisme, integriti dan nilai versatil yang telah ditunjukkan. Senarai penerima Anugerah ‘Most Outstanding Hasilian’ adalah seperti yang berikut:

  1. Puan Idahroyani binti Setam, Jabatan Teknologi Maklumat;
  2. Encik Mohd Rizal bin Abdul Rahman, Cawangan Industri Khusus;
  3. Puan Haziqah binti Jaafar, LHDNM Selangor lokaliti Klang;
  4. Encik Izrul Syahrul bin Zulkifli, Cawangan Pembayar Cukai Besar; dan
  5. Puan Paezah binti Ahmad, Jabatan Pengurusan Insan.

Pada tahun ini, HASiL turut menganjurkan pelbagai aktiviti menarik seperti Virtual TaxEdu Challenge 2023, majlis bacaan Yasin, solat hajat dan ceramah perdana, program HASiL Kasih Prihatin (CSR) dan HASiL Run.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan dengan perkara ini boleh dimajukan kepada HASiL melalui:

  1. Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);
  2. HASiL Live Chat; dan
  3. Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/public.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.