3 Mac 2023, 22:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melbourne – Konsul Jeneral Malaysia di Melbourne Australia, Marzita Marzuki mempersembahkan laporan kepada Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengenai perdagangan antara Malaysia dengan Australia di Crown Towers Melbourne. Beliau menyatakan bahawa pada tahun kewangan 2021-2022, perdagangan dua hala antara negeri Victoria di Australia dengan Malaysia meningkat sebanyak 36% (AUD$1.24 bilion) berbanding dengan tahun sebelumnya. Malaysia merupakan rakan dagang dua hala kelapan terbesar dengan Victoria.

Peningkatan itu dilihat dalam import Malaysia, dengan nilai import petroleum mentah dan bertapis dari Malaysia ke Victoria meningkat sebanyak 93% (AUD$912 juta), manakala import utama Malaysia dari Victoria ialah produk tenusu berjumlah AUD$110 juta, petroleum yang bertapis berjumlah AUD$94 juta, dan gandum berjumlah AUD$77 juta.

DYTM Tuanku Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berangkat ke Melbourne untuk menghadiri majlis graduasi anakanda puteri kedua baginda, Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Farah Adriana Jamalullail, 21 tahun yang telah tamat pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Pengurusan) di Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT) University dari tahun 2018 hingga 2021 yang lalu.

Berangkat sama ke Melbourne ialah  anakanda puteri sulung, YAM Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan anakanda putera bongsu, YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyerahkan sumbangan tambahan ‘Tabung Ibnu Sabil MAIPs’ yang diterima oleh Konsul Muda, Mohd Adham Yahaya. Pada tahun 2019, Malaysia merekodkan pendaftaran pelajar antarabangsa ketiga terbesar di Victoria dan sumber pelawat semalaman antarabangsa ketujuh terbesar.

Untuk rekod, Malaysia telah membuka pejabat Konsulat Jeneral di Melbourne, Victoria pada Mei 2011, iaitu selepas lawatan rasmi YAB Perdana Menteri Malaysia ke Melbourne pada 11 Mac 2011. Ini diikuti dengan ketibaan Konsul Jeneral yang pertama pada 26 Jun 2011 dan beroperasi buat sementara waktu di Malaysia Hall sebelum berpindah ke premis tetap di Aras 1, 432, St. Kilda Road Melbourne.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.